Pages

Wednesday, March 5, 2014

Bill Gates rampas status individu terkaya dunia 2014


NEW YORK 4 Mac - Pengasas Microsoft, Bill Gates merampas kembali kedudukan sebagai individu terkaya di dunia dengan nilai kekayaan AS$76 bilion (RM249.28 bilion), meningkat berbanding AS$72 bilion (RM236.16 bilion) tahun lalu, menurut senarai bilionair 2014 majalah Forbes.
Prestasi nilai saham Microsoft yang memberangsangkan sejak beberapa bulan lalu menjadi faktor utama yang membantu Gates berada di kedudukan itu, sekali gus membuatkan beliau menjadi individu terkaya di dunia untuk kali ke-15 sejak 20 tahun lalu.
Beliau merampas kedudukan Carlos Slim yang kini berada di tempat kedua, dengan jumlah aset AS$72 bilion (RM236.16 bilion), selepas kekayaannya merosot daripada AS$73 bilion (RM239.44 bilion) tahun lalu.
Hal itu berpunca akibat kemerosotan 50 peratus nilai saham syarikat perlombongannya sejak setahun lalu.
Individu ketiga terkaya ialah pemilik rangkaian gedung pakaian Zara, Amancio Ortega dengan kekayaan AS$64 bilion (RM209.92 bilion).
Pada 2012, Ortega yang merupakan rakyat Sepanyol hanya mempunyai nilai kekayaan AS$37.5 bilion (RM123 bilion), tetapi berjaya meningkatkan nilainya setelah menyertai sektor hartanah secara aktif.
Selain Gates, senarai individu terkaya dunia dari kedudukan keempat hingga ke-10 didominasi oleh ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS).
Tempat keempat diduduki Warren Buffett dengan kekayaan AS$58.2 bilion (RM190.89 bilion), diikuti Larry Ellison AS$48 bilion (RM157.44 bilion), Charles Koch AS$40 bilion (RM131.2 bilion), David Koch AS$40 bilion (RM131.2 bilion), Sheldon Adelson AS$38 bilion (RM124.64 bilion), Christy Walton AS$36.7 bilion (RM120.37 bilion) dan Jim Walton AS$34.7 bilion (RM113.81 bilion).
Antara individu ternama yang turut tersenarai ialah pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dengan nilai aset AS$28.5 bilion (RM93.48 bilion) di kedudukan ke-21, pemilik kelab bola sepak Arsenal, Stanley Kroenke AS$5.6 bilion (RM18.36 bilion) di tempat ke-253, dan pemilik gedung pakaian mewah Prada, Miuccia Prada AS$11.1 bilion (RM36.4 bilion) ke-102.
Orang paling kaya tertua ialah David Rockefeller, 98, dengan jumlah kekayaan AS$2.9 bilion (RM9.51 bilion), manakala yang paling muda ialah Perenna Kei, 24, dari Hong Kong, dengan kekayaan AS$1.3 bilion (RM4.26 bilion) yang mewarisi dan menyertai perniagaan bapanya, Ji Haipeng iaitu Pengerusi syarikat hartanah tersenarai di Hong Kong, Logan Property Holdings. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140305/lu_11/Bill-Gates-rampas-status-individu-terkaya-dunia-2014#ixzz2v2AOl4Cv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: