Pages

Wednesday, December 18, 2013

Fenomena luar biasa salji tebal di utara Vietnam


Dua orang pekebun, mengalihkan salji yang melitupi sayur-sayuran di kebun mereka di daerah Sa Pa, wilayah Lao Cai, semalam. - Agensi
LAO CAI, Vietnam 17 Dis. - Salji tebal yang melanda kawasan pergunungan di daerah Sa Pa, barat laut wilayah Lao Cai di sini, memusnahkan sebahagian besar tanaman dan mengakibatkan gangguan lalu lintas.
Fenomena seperti itu jarang berlaku, namun salji biasa dilihat di kawasan pergunungan di utara Vietnam pada musim sejuk.
Berbanding tahun-tahun sebelumnya, keadaan kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di wilayah berkenaan, dengan lebih daripada 100 hektar ladang buah-buahan dan bunga dilitupi salji tebal, menurut Jabatan Pembangunan Pertanian dan Luar Bandar.
Selain itu, salji tebal turut menyekat laluan lebuh raya sepanjang 10 kilometer menghubungkan wilayah Lao Cai dan Lai Chau, namun usaha kini giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan bagi memulihkan keadaan.
Cuaca sejuk juga memaksa lebih 8,500 buah sekolah rendah dan menengah ditutup buat sementara waktu.
Sementara itu, menurut Jabatan Pendidikan dan Latihan Lai Chau, beribu-ribu orang pelajar dari daerah yang teruk dilanda salji iaitu Sin Ho, Phong Tho dan Tam Duong diarahkan supaya tinggal di rumah.
"Pelajar dari 63 buah sekolah di Sa Pa termasuk 20 tadika, 22 sekolah menengah dan 21 buah sekolah rendah diarahkan supaya tinggal di rumah bermula semalam hingga hari ini.
"Bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini, selimut turut disalurkan kepada pelajar terbabit,'' jelas jabatan itu.
Semalam, keseluruhan kawasan di wilayah Lao Cai mencatatkan suhu 5 darjah Celsius dan di Sa Pa, suhunya lebih rendah iaitu 3 darjah Celsius di bawah paras beku.
Fenomena salji luar biasa itu turut menyebabkan Lao Cai menjadi tumpuan para pelancong. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131218/lu_07/Fenomena-luar-biasa-salji-tebal-di-utara-Vietnam#ixzz2nnWo2BkA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: