Pages

Monday, November 4, 2013

Misteri kematian Firaun Tutankhamun didedah


Raja Tutankhamun mati selepas dilanggar oleh kenderaan berkuda yang dipandu laju. - AGENSI
LONDON 3 Nov. - Misteri kematian Firaun terkenal, Raja Tutankhamun selama 3,336 tahun, yang sebelum ini dikaitkan dengan pembunuhan, penyakit kusta atau dipatuk ular, akhirnya terjawab apabila punca kematian sebenarnya didedahkan oleh satu kajian terbaharu.
Mumia Raja Tutankhamun yang ditemui kira-kira 91 tahun lalu oleh pakar arkeologi Britain, Howard Carter di Lembah Raja, Mesir, menunjukkan Firaun itu mati akibat dilanggar oleh kenderaan berkuda yang dipandu laju.
Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Kajian Masyarakat Mesir, Dr. Chris Naunton selepas beliau membaca nota Howard yang tidak pernah disiarkan kepada umum.
Naunton menggunakan teknologi terbaharu untuk 'mewujudkan semula' kematian Raja Tutankhamun atau dikenali sebagai Raja Tut, dan kisah kematiannya dijadikan siri dokumentari yang bertajuk 'Tutankhamun: The Mystery Of The Burnt Mummy', yang akan disiarkan pada 10 November ini.
Beliau turut menjalankan kajian terhadap daging Raja Tut, yang didapati menjadi hangus, dipercayai dibakar sebelum dimasukkan ke dalam keranda.
Pemeriksaan lanjut oleh Naunton bersama pakar forensik mendapati kecederaan Raja Tut menyerupai luka akibat dilanggar sesuatu yang berat dan beroda seperti digunakan oleh kenderaan berkuda.
Pada 1968, seorang jurugambar dari Universiti Liverpool mengambil 50 gambar X-ray mumia tersebut yang menunjukkan bahagian tengkorak Raja Tut pecah, menyebabkan pakar membuat kesimpulan raja itu mati akibat dibunuh.
Namun, teori yang berlarutan hampir empat dekad itu akhirnya terungkai, apabila Nounton mendedahkan bahawa kecederaan yang dialami di dada Raja Tut adalah akibat dilanggar.
Malah tulang rusuk sebelah kiri raja berkenaan juga didapati patah, selain kekurangan satu tulang dada dan jantung.
"Raja Tut dilanggar kenderaan berkuda dengan kelajuan yang tinggi sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk yang menjadi punca sebenar kematiannya," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131104/lu_04/Misteri-kematian-Firaun-Tutankhamun-didedah#ixzz2jcP7HK7Z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: