Pages

Thursday, August 8, 2013

Jepun bina kapal perang terbesar RM3.88 bilion


Gambar dari udara merakamkan kapal perang Jepun, DDH183 Izumo ketika majlis pelancarannya di Yokohama, selatan Tokyo kelmarin. - REUTERS
TOKYO 7 Ogos - Jepun, semalam mendedahkan projek membina kapal perang terbesarnya selepas Perang Dunia Kedua berharga AS$1.2 bilion (RM3.88 bilion), sekali gus dijangka meningkatkan lagi ketegangan berhubung isu pertikaian pulau antara Tokyo dan Beijing di Laut China Timur.
Pegawai kerajaan Jepun berkata, fungsi utama kapal pengangkut helikopter itu yang diberi nama Izumo adalah sebagai aset pertahanan negara dan direka untuk situasi peperangan, sebagai kapal antikapal selam serta memantau sempadan negara.
Kapal Izumo yang mempunyai berat 19,500 tan, dikatakan turut berfungsi sebagai kapal pemusnah serta mampu membawa sehingga 14 buah helikopter di atas geladak sepanjang 250 meter.
Selain itu, kapal gergasi tersebut turut memainkan peranan dalam misi kemanusiaan dengan kemampuan membawa pengangkutan, pasukan kecemasan dan logistik ke kawasan bencana seperti gempa bumi dan tsunami.
Namun ramai pihak melihat pembinaan kapal itu yang dijangka memulakan perkhidmatan pada 2015, memainkan peranan untuk memantau dan mempertahankan wilayah Jepun di Laut China Timur.
Jepun dan China saling menuntut beberapa kawasan kepulauan kecil yang dikenali sebagai Senkaku di Tokyo dan Diaoyu di Beijing, dan kedua-dua negara mengerahkan kapal masing-masing untuk mengawal kawasan yang menjadi perebutan tersebut.
China, baru-baru ini melancarkan kapal pengangkut pesawatnya di kawasan maritim berkenaan.
China meningkatkan lagi keteganganan apabila mengumumkan pembinaan sebuah lagi kapal perang besar untuk angkatan lautnya sebagai tindak balas kepada pengumuman Jepun itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130808/lu_06/Jepun-bina-kapal-perang-terbesar-RM388-bilion#ixzz2bKTIJKAN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: