Pages

Friday, August 23, 2013

Gempa bumi kuat landa Mexico


SEORANG lelaki melihat sebuah gerai yang runtuh selepas gempa bumi kuat menggegarkan bandar percutian Acapulco di Mexico kelmarin.


ACAPULCO – Satu gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter diikuti beberapa gempa susulan yang melanda selatan Mexico kelmarin meranapkan lapan buah rumah.
Bencana itu turut menyebabkan sejumlah sekolah, hotel dan hospital di kawasan pelancongan terkenal di sini terpaksa dikosongkan.
Beberapa bangunan di Bandar Raya Mexico yang terletak beratus-ratus kilometer dari pusat gempa turut bergoyang.
Namun, pihak berkuasa menyatakan tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan di ibu negara Mexico, Bandar Raya Mexico.
Pusat Seismologi Kebangsaan menyatakan, gempa bumi itu melanda pada waktu pagi semasa penduduk bersiap untuk ke tempat kerja dan sekolah.
Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat me nyatakan bahawa gempa bumi berlaku pada pukul 7.38 pagi waktu tempatan.
Pusat gempa bumi itu terletak pada kedalaman 17 kilometer (km) ke barat bandar San Marcos, selatan negeri Guerrero.
Bencana tersebut diikuti lapan gempa bumi susulan dengan yang paling kuat berukuran 5.62 pada skala Richter dengan jarak 14km ke timur laut Acapulco.
Ia menyebabkan batu-batan di lereng bukit bergolek di tengah jalan raya dan sebahagian binaan di hotel-hotel terkenal di sini luruh semasa para pelancong menyelamatkan diri.
Pihak berkuasa melaporkan kerosakan di lima hospital dan tiga sekolah.
Gabenor Guerrero, Angel Aguirre menyatakan bahawa tiada kematian akibat bencana itu.
Sesi persekolahan dibatalkan dan sejumlah 200 pesakit dipindahkan dari hospital yang terjejas.
Bandar raya Mexico terletak 440km ke utara San Marcos namun, ibu negara boleh merasai gegaran kerana ia berada di atas tanah lumpur yang terbentuk daripada tasik-tasik kering. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0823&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2ck8twlWW 
Hakcipta terpelihara 

No comments: