Pages

Wednesday, August 14, 2013

Bayi terbakar sendiri 4 kali

New Delhi: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dilaporkan kian pulih selepas badannya didakwa terbakar tiba-tiba empat kali.
Rahul dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital di Chennai minggu lalu akibat melecur teruk pada seluruh badannya. 
Doktor di hospital itu berkata, Rahul mengalami “pembakaran spontan.”

Kakitangan perubatan mendakwa buat kali keempat dalam hidupnya, tubuh Rahul terbakar tanpa sebab seperti cucuhan atau percikan luaran.
Foto
RAHUL ditemani ibunya dirawat di sebuah hospital di Chennai, India, semalam.

Kata doktor, kejadian itu mungkin berpunca daripada pembuangan gas pada kulitnya dan menyebabkan dada dan kepala bayi terbabit terbakar.

Ketua pediatrik hospital tempat Rahul dirawat, R Narayana Babu berkata, keadaan bayi berkenaan stabil dan masih dirawat akibat melecur.

“Rahul dibantu dengan sistem pernafasan di unit rawatan rapi,” katanya.

Dia memberitahu rancangan IBN Live bahawa Rahul masih di bawah pemerhatian dan akan keluar hospital selepas dua minggu bergantung pada keadaannya.

Rahul berasal dari Villupuram kira-kira 100 kilometer dari Chennai mengalami kejadian pertama ketika berusia sembilan hari.

Ibunya Rajeswari berkata, orang ramai menyangka dia yang sengaja membakar anak lelakinya itu.

“Penduduk kampung memulau kami dan keadaan Rahul menyebabkan kami sekeluarga kehilangan segala-galanya,” katanya ketika ditemui.

Rajeswari mendakwa Rahul sudah mengalami empat episod terbakar dengan insiden terakhir berlaku bulan lalu.

Bagaimanapun, doktor di Hospital Kolej Perubatan Kilpauk di Chennai yang merawat Rahul berkata, mereka hanya bergantung kepada keterangan ibunya kerana bayi itu tidak mempunyai rekod perubatan.

Profesor Jabatan Pediatrik di Hospital Kolej Perubatan Kilpauk R Jayachandran berkata Rahul perlu dipantau dengan rapi.

“Kami akan menyiasat sama ada penyakitnya itu berpunca daripada genetik dan akan menjalankan ujian bagi mengetahui jenis gas yang dikeluarkan bayi itu,” katanya. - Agensi

No comments: