Pages

Thursday, July 4, 2013

Korban gempa bumi Aceh meningkat kepada 24 orang


BEBERAPA penduduk mengawasi jenazah saudara-mara mereka yang terkorban dalam gempa bumi di Blang Mancung, Aceh kelmarin.


BLANG MANCUNG - Angka korban akibat gempa bumi di wilayah Aceh meningkat kepada kira-kira 24 orang, termasuk beberapa orang kanak-kanak yang maut apabila sebuah masjid runtuh.
Pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang masih hidup di lokasi terjejas semalam.
Hampir 250 orang turut cedera apabila gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan kawasan pedalaman di Aceh.
Bencana tersebut meruntuhkan sejumlah bangunan dan menyebabkan tanah runtuh.
Gempa yang berlaku pada kedalaman sepuluh kilometer itu mencetuskan situasi panik di Aceh, selepas meragut lebih 170,000 orang ketika tsunami melanda pada tahun 2004.
Sementara itu, sekurang-kurangnya enam kanak-kanak maut dan 14 yang lain terperangkap selepas sebuah masjid di kampung Blang Mancung, daerah tengah Aceh runtuh semasa sesi membaca al-Quran.
"Saya harap mereka boleh ditemui dengan selamat. Tetapi, peluang amat tipis," kata ketua agensi pengurusan bencana tempatan, Subhan Sahara kepada agensi berita AFP kelmarin.
Menurut agensi itu, pasukan keselamatan seperti tentera, polis dan beberapa pegawai pemerintah tempatan berusaha memasuki kawasan terjejas semalam dengan menggunakan laluan darat dan udara.
Namun, sejumlah laluan masuk ke lokasi tersebut terhalang oleh tanah runtuh.

PENDUDUK kampung melintas sebuah rumah yang ranap di daerah Blang Mancung, dalam wilayah Aceh semalam.


Agensi berkenaan telah menghantar sebuah helikopter dari wilayah Riau bagi membantu usaha menyelamat. Sebuah pesawat tentera turut digunakan.
"Setakat ini seramai 22 orang terkorban, 210 orang cedera dan beribu-ribu bangunan dan rumah rosak akibat gempa," kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.
Katanya, mangsa-mangsa yang terjejas teruk melibatkan daerah tengah Aceh dan Bener Meriah. Sejumlah orang menerima rawatan di hospital-hospital di Aceh.
Seorang pegawai agensi bencana tempatan, Fauzi berkata, sekitar 300 orang berkhemah di padang bola sepak di Bener Meriah selepas gempa menggegarkan kawasan itu.
Menurut Fauzi, orang ramai kini mengharapkan bantuan makanan.
"Terdapat gempa bumi kuat semalam (kelmarin) dan orang ramai enggan pulang ke rumah. Jadi, mereka bermalam di kawasan terbuka. Malangnya kami kekurangan khemah," katanya.
Di ibu negeri wilayah Aceh, Banda Aceh, orang ramai berlari keluar dari rumah mereka apabila gempa melanda dengan situasi sama berlaku di Medan, selatan Aceh.
Aceh yang terletak di utara Pulau Sumatera kerap dilanda gempa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Y1UxFlLD 
Hakcipta terpelihara 

No comments: