Pages

Monday, June 17, 2013

Cengkerang berusia 260 juta tahun ditemui di Merapoh


AHMAD ROSLI OTHMAN
ANTARA fosil cengkerang spesies Brakiopoda yang ditemui pada singkapan batuan tapak projek jalan raya berdekatan Sungai Yu, Merapoh di sini hari ini. - UTUSAN
KUALA LIPIS 16 Jun - Seorang Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) menemui fosil cengkerang berusia 260 juta tahun di Sungai Yu, berdekatan Merapoh di sini.
Hasil kajian ke atas fosil itu mendapati ia lebih tua berbanding fosil yang ditemui di Taman Emas, bandar Kuala Lipis pada 2011 lalu yang berusia 230 juta tahun.
Ahli Paleontologi itu, Ahmad Rosli Othman berkata, daerah ini mempunyai banyak kawasan yang mengandungi fosil atau tinggalan hidupan purba dari zaman prasejarah.
"Fosil cengkerang ditemui pada satu singkapan batuan di sepanjang projek menaik taraf jalan raya Merapoh ke Kuala Lipis yang sedang dalam pembinaan berdekatan Sungai Yu.
"Fosil yang terletak pada lapisan batu lumpur itu merupakan jenis Brakiopoda yang lazimnya hidup dipersekitaran laut cetek," katanya kepada pemberita di Sungai Yu di sini hari ini.
Menurutnya, antara spesies Brakiopoda yang dapat dikenal pasti di kawasan sama iaitu Leptodus sp., Transennatia sp. dan Spyridiophora sp.
Beliau yang juga penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, penemuan itu menunjukkan sekitar 250 juta hingga 260 juta tahun dahulu Merapoh berada di dasar lautan dan menjadi habitat hidupan laut purba yang primitif. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130616/dn_20/Cengkerang-berusia-260-juta-tahun-ditemui-di-Merapoh#ixzz2WQ70Md9y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: