Pages

Thursday, May 23, 2013

Puting beliung Oklahoma lebih kuat daripada bom atom



DUA orang berjalan di sebatang jalan raya yang dipenuhi dengan serpihan rumah yang ranap di Moore kelmarin.


WASHINGTON - Puting beliung yang melanda negeri Oklahoma pada Isnin lalu menghasilkan tenaga yang jauh lebih kuat daripada bom atom yang digugurkan di Hiroshima, Jepun.
Bencana tersebut membawa kemusnahan besar selepas ia melanda negeri Amerika Syarikat (AS) itu selama sejam.
Beberapa ahli meteorologi yang dihubungi agensi berita The Associated Press memberitahu, tenaga puting beliung tersebut ialah lapan hingga lebih 600 kali lebih kuat daripada bom atom.
Puting beliung tersebut selebar dua kilometer dan bergerak sejauh 27 kilometer selama 40 minit ketika ia melanda Moore di pinggir bandar Oklahoma.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS memberikan skala terkuat, EF-5 terhadap taufan itu berdasarkan kelajuan angin dan tahap kemusnahan yang berlaku.
Puting beliung tersebut dianggarkan bertiup selaju 320 kilometer sejam (km/j) hingga 337km/j.
Mengulas bencana tersebut, seorang pakar meteorologi AS, Harold Brooks berkata, kurang satu peratus daripada keseluruhan puting beliung yang melanda AS pada setiap tahun mendatangkan kemusnahan yang besar.
Puting beliung itu meranapkan sejumlah bangunan termasuk sekolah.
Angka kematian rasmi setakat ini ialah 24 orang selepas beberapa pegawai kelmarin menyatakan jumlah kematian mencecah sehingga 91 orang.
"Cuma sekitar 10 puting beliung tergolong ke dalam kategori kuat pernah melanda negara ini pada setiap tahun," kata Brooks.
Menurutnya, faktor iklim seperti angin panas dan kelembapan udara menyebabkan beberapa kawasan di tengah Oklahoma kerap dilanda puting beliung yang kuat.
Brooks berkata, saintis-saintis kini berusaha untuk menentukan sama ada kesan pemanasan global turut mempengaruhi pembentukan puting beliung. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2U49vSYOX 
Hakcipta terpelihara 

No comments: