Pages

Monday, April 15, 2013

Wanita jalani pembedahan pindah rahim hamil



LONDON 14 April - Wanita pertama di dunia yang berjaya menjalani pembedahan pemindahan rahim, Derya Sert (gambar), dilaporkan telah mengandung.
Pakar-pakar dari Hospital Universiti Akdeniz, di Antalya berkata, wanita Turki itu menunjukkan tanda-tanda dia mengandung selepas embrio yang disenyawakan menerusi prosedur persenyawaan tabung uji (IVF) dimasukkan ke rahimnya.
Derya, 22, memilih prosedur IVF bagi meneruskan hasratnya untuk mendapatkan anak, meskipun beberapa pakar kesihatan di Britain memberi amaran dia berdepan risiko kehilangan nyawa.
Namun, kejayaan wanita dari Turki itu bakal memberi harapan kepada beribu-ribu wanita mandul di Britain.
Derya sebelum ini dianggap sebagai 'satu keajaiban perubatan' ketika dia menjadi wanita pertama di dunia berjaya menjalani pembedahan pemindahan rahim daripada penderma yang telah meninggal dunia, pada Ogos 2011.
Sejak itu, beberapa wanita lain turut menjalani pembedahan sama, tetapi Derya merupakan wanita pertama yang hamil.
Doktor di Hospital Universiti Akdeniz, menunggu selama 18 bulan sebelum memasukkan embrio ke dalam rahimnya, bagi memberi peluang besar kepada kandungannya untuk selamat.
Bagaimanapun, Derya masih berdepan risiko tinggi mengalami keguguran atau komplikasi di peringkat awal kandungan.
Terdapat juga peluang berlaku kelahiran yang cacat ekoran penggunaan dadah yang boleh mengurangkan sistem imunisasi badan ketika pemindahan rahim. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130415/lu_08/Wanita-jalani-pembedahan-pindah-rahim-hamil#ixzz2QUExdK42
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: