Lagi pejuang Hamas dibunuh
Penduduk menyelamatkan diri selepas berlaku pertempuran sengit di Darayya, Syria.
BAITULMUQADDIS - Seorang pejuang Hamas terbunuh manakala dua penduduk Palestin cedera dalam serangan tunjuk perasaan ke atas pasukan tentera Israel berhampiran selatan Tebing Barat, semalam.

Jurucakap tentera Israel mendakwa, kejadian itu berlaku selepas puluhan penduduk Palestin membaling batu ke arah askar ketika pertempuran di kem pelarian Al-Fawwar.

“Mangsa dipercayai cuba memasuki kem berkenaan dan melemparkan batu serta bom petrol ke arah pasukan keselamatan,” katanya dalam laporan AP

Sementara itu, Pegawai Keselamatan Palestin berkata, mangsa terkorban adalah Mahmud al-Titi, 23 yang terbabit dalam kumpulan pejuang Islam.

“Mangsa ditembak di kepala, seorang lelaki mengalami cedera ringan manakala seorang lagi cedera parah, selepas terkena serpihan peluru di dada,” katanya.

Menurutnya, tindakan rejim Zionis kini semakin kejam apabila sering menggunakan senjata api untuk menyuraikan serangan penunjuk perasaan.

“Sebelum ini, mereka hanya menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk berbuat demikian,” katanya.