Pages

Wednesday, March 20, 2013

Bekas ratu cantik dapat RM2.35 bilion?



LONDON 19 Mac - Bekas Ratu Cantik Malaysia, Pauline Chai yang memohon perceraian daripada suaminya, seorang jutawan dari Malaysia, dilapor bakal memperolehi harta berjumlah sehingga 500 juta pound (RM2.35 bilion) selepas dia berpisah dengan suaminya.
Akhbar The Times melaporkan, Pauline, 66, bakal memperolehi harta antara 400 juta pound (RM1.8 bilion) dan 500 juta pound (RM2.35 bilion), sekiranya bercerai dengan Tan Sri Dr. Khoo Kay Peng yang merupakan Pengerusi Malaysian United Industries (MUI).
Kay Peng turut mempunyai hartanah di England, Kuala Lumpur dan Australia.
Jutawan berusia 74 tahun itu juga mempunyai saham berjumlah 40 peratus dalam syarikat perabot rumah, Laura Ashley yang mencatat jualan berjumlah 286 juta pound (RM1.3 bilion) setahun.
Selain itu, Kay Peng merupakan Pengarah Corus Hotels Limited yang memiliki 10 buah hotel termasuk hotel mewah, Hotel Corus Hyde Park.
Beliau juga merupakan bekas Naib Pengerusi Malayan Banking Berhad (Maybank).
Kay Peng dan Pauline berkahwin pada 1970 dan mempuyai lima orang anak. Beliau turut membeli estet di Hertfordshire pada 1998.
Pauline memfailkan tuntutan cerai di sebuah mahkamah di London pada bulan lalu atas 'alasan tingkah laku yang tidak munasabah' dan kes itu dijangka didengar dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Peguam yang mewakili Pauline, Ayesha Vardag berkata, mengikut undang-undang asas di Britain, harta pasangan suami isteri akan dibahagikan sama rata jika sesuatu pasangan itu bercerai, melainkan terdapat alasan tertentu menghalang pampasan tersebut diberikan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130320/lu_10/Bekas-ratu-cantik-dapat-RM235-bilion#ixzz2O3BN74M1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: