Pages

Wednesday, December 12, 2012

Pemberontak terus dibedil



Gambar semalam merakamkan jalan menuju ke pangkalan tentera Sheikh Suleiman, kira-kira 25 kilometer ke barat laut Aleppo yang ditawan pemberontak Syria. Pemberontak terus mengukuhkan kedudukan dengan menawan pangkalan tentera di wilayah utara dekat sempadan Turki. - AFP
BEIRUT 10 Dis. - Tentera Syria memperhebatkan serangan udara ke atas kubu pemberontak di pinggir bandar raya Damsyik, hari ini ketika pemberontak meningkatkan serangan ke atas Damsyik.
Menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, serangan udara itu dilancarkan ke atas Daraya ketika pasukan tentera kerajaan dan pemberontak terus bertempur, manakala bedilan meriam dilancarkan ke atas Moadamiyet al-Sham.
Pertubuhan yang beribu pejabat di Britain itu berkata, serangan udara turut dilancarkan di Ghouta Timur, kawasan yang dijadikan sebagai pangkalan pemberontak.
Tentera Syria sejak beberapa hari lalu mengebom kawasan kubu kuat pemberontak di pinggir bandar Damsyik melalui udara dan darat, sekali gus meningkatkan kebimbangan mereka mahu membuat kepungan selamat di sekitar bandar raya itu.
Menurut pertubuhan itu, pertempuran dan serangan bom turut berlaku di wilayah utara Aleppo serta wilayah tengah Homs dan Deir Ezzor.
Akhbar al-Watan pula melaporkan, tentera melancarkan serangan besar-besaran ke atas Barisan al-Nusra, kumpulan yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda, di beberapa wilayah di Damsyik dan Aleppo, semalam.
Tentera turut menyerang pemberontak di daerah Tadamun dan Hajar Aswad, selatan Damsyik menyebabkan berpuluh-puluh orang maut atau cedera.
Dalam keganasan semalam, seramai 94 orang terbunuh di seluruh Syria, kebanyakannya orang awam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121211/lu_01/Pemberontak-terus-dibedil#ixzz2ElAFIgMt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments: