Pages

Friday, December 28, 2012

Lagi jeneral Syria berpaling tadah

Mejar Jeneral al-Shallal
Imej rakaman memaparkan pengakuan Mejar Jeneral al-Shallal
. Foto: AP
DAMSYIK - Ketua polis tentera Syria menjadi pegawai tertinggi terbaru  berpaling tadah dan menyertai pemberontakan menentang Presiden Bashar al-Assad dalam konflik sejak 21 bulan lalu di negara itu.

Rakaman pengumuman Mejar Jeneral Abdul Aziz Jaseem al-Shallal tersebut disiarkan stesen TV, Al Arabiya pada Selasa lalu.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas beliau tidak sanggup lagi menyaksikan kekejaman tentera rejim melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat sendiri dan terus membedil kawasan kampung serta bandar.

Sehingga kini, puluhan jeneral telah berpaling tadah sejak negara itu mula bergolak pada Mac tahun lalu termasuk teman rapat Assad, Jeneral Manaf Tlass.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Mohammed al-Shaar yang cedera dalam kejadian pengeboman berani mati di Damsyik pada 12 Disember lalu dilaporkan tergesa-gesa meninggalkan hospital di Beirut dengan menaiki jet peribadi.

Pegawai keselamatan Lubnan memberitahu, al-Shaar khuatir pihak berkuasa akan mengeluarkan waran tangkap antarabangsa atas penglibatannya melakukan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan di Syria.

Selain itu, beliau juga dikatakan pernah terlibat dengan serangan berdarah ke atas penyokong Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di bandar Tripoli pada tahun 1986 semasa al-Shaar memegang jawatan sebagai pegawai perisikan kanan di utara Lubnan.

Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya 20 terkorban termasuk lapan kanak-kanak selepas kereta kebal tentera rejim menggempur sebuah kampung di Kahtaniyeh, wilayah utara Syria, kelmarin. - AP

No comments: