Pages

Sunday, July 22, 2012

Poland mahu jual foto Marilyn Monroe

SEORANG kurator, Anna Wolska menunjukkan sekeping gambar
 Marylin Monroe yang dirakam jurugambar selebriti, Milton H. Greene,
 di Warsaw, Poland kelmarin.
WARSAW - Pemerintah Poland merancang untuk melelong sebahagian koleksi foto yang turut merangkumi beratus-ratus gambar aktres simbol seks, Marilyn Monroe.
Koleksi itu termasuk hampir 4,000 gambar yang dirakam seorang jurugambar selebriti, Milton H. Greene.
Sebilangan imej berkenaan sememangnya popular tetapi pegawai-pegawai Poland memberitahu, mereka percaya koleksi itu mengandungi beberapa gambar yang belum pernah disiarkan.
Koleksi tersebut menjadi milik pemerintah Poland susulan satu skandal penipuan yang menggemparkan negara itu pada awal tahun 1990-an.
Seorang lelaki Chicago di Amerika Syarikat yang didakwa menipu pemerintah Poland sebanyak berjuta-juta dolar pada hujung 1990-an memberikan koleksi foto itu sebagai sebahagian bayaran ekoran kerugian yang ditanggung negara Eropah berkenaan.
Semua gambar tersebut disimpan di sebuah gudang di bandar raya New York sejak tahun 1990-an dan hanya dikembalikan ke sini beberapa hari lalu.
Seorang pegawai pentadbiran Poland, Marta Maciazek berkata, koleksi gambar itu dianggarkan bernilai AS$680,000 (RM2.1 juta).
- Agensi

No comments: