PBB mahu inkuiri bebas siasat isu Rohingya
Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay
PBB mahu inkuiri bebas siasat isu Rohingya
Penduduk tempatan di Sittwe, Rakhine berpusu-pusu mendapatkan bekalan air di sebalik konflik kaum sejak Mei lalu. - Foto ihsan
NEW YORK - Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay mahu satu siasatan bebas diadakan ekoran dakwaan penganiayaan oleh pasukan keselamatan Myanmar di negeri Rakhine, menyasarkan etnik Islam.

Navi berkata, pasukan keselamatan yang dihantar ke negeri utara itu didakwa menyasarkan penduduk beragama Islam.

Menurut UNCHR, agensi pelarian PBB, sekitar 80,000 orang telah hilang tempat tinggal ekoran keganasan antara kaum di wilayah tersebut.

Keganasan terbaru di negeri  Rakhine bermula Mei lalu apabila seorang wanita etnik Rakhine, yang beragama Buddha, didakwa telah dirogol dan dibunuh oleh tiga orang beragama Islam.

Ia disusuli dengan letupan bom yang membunuh 10 orang Muslim pada 3 Jun lalu.

Sejak itu, seramai 78 orang telah terbunuh tetapi anggaran tidak rasmi menunjukkan angka kematian kemungkinan lebih tinggi.

"Kami terus-menerus menerima laporan daripada sumber-sumber bebas yang mendakwa berkenaan dengan aspek diskriminasi dan respons arbitari pihak pasukan keselamatan," kata Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia PBB ini.

"Laporan menunjukkan bahawa respons segera awal pihak berkuasa ke atas keganasan kaum kemungkinan telah berubah menjadi tindakan yang sasarkan kaum Muslim khususnya anggota komuniti Rohingya," katanya lagi.

Beliau menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan duta PBB akses ke negeri Rakhine minggu depan untuk membuat penilaian.

"Bagaimanapun ia bukan satu usaha mengadakan siasatan bebas," katanya lagi.