KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ekmeleddin Ihsanoglu mengutus sepucuk surat kepada Presiden Myanmar Thein Sein untuk menggesa beliau mengambil berat nasib buruk yang menimpa masyarakat Islam Rohingya, sejajar dengan standard hak asasi manusia antarabangsa.

Ihsanoglu meminta presiden itu memberi jaminan tentang keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat Rohingya sebagai warganegara Myanmar dan menghentikan semua bentuk ugutan serta penindasan terhadap mereka.  

Pertubuhan 57 negara anggota itu dalam kenyataannya berkata Ihsanoglu juga menggesa Presiden Thein menyiasat kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Islam Rohingya sejak 3 Jun, 2012 dan membawa pelakunya ke muka pengadilan.

Beliau memberi jaminan kepada presiden itu bahawa OIC bersedia bekerjasama dengan Myanmar dalam urusan penghantaran pulang anggota masyarakat minoriti Islam itu ke kampung halaman mereka dan membantu memulihkan suasana aman dan meyakinkan di kawasan terbabit.

Ihsanoglu juga mengutus surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon dan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Navi Pillay untuk menggesa mereka menggunakan pengaruh masing-masing dalam mencari penyelesaian segera terhadap isu berkenaan, kata kenyataan itu.
  
Sehubungan itu, kata beliau, OIC, yang merupakan pertubuhan antarabangsa terbesar di luar PBB, akan memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada kedua-dua pertubuhan itu untuk menyelesaikan isu tersebut.

Rohingya adalah rakyat Myanmar beragama Islam yang tinggal di wilayah Arakan. Pada 2012, dianggarkan 800,000 anggota masyarakat ini tinggal di Myanmar dan menurut PBB, mereka adalah antara kumpulan minoriti yang paling teruk dizalimi di dunia.

Dalam kenyataan bertarikh 11 Julai, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Myanmar berkata sekurang-kurangnya 78 orang terbunuh sejak keganasan itu bermula, tetapi menurut anggaran tidak rasmi, lebih 100 nyawa terkorban, manakala kira-kira 50,000 hingga 90,000 orang – dengan angka lebih rendah diberi agensi kerajaan dan PBB -- dianggar diusir dari kampung halaman masing-masing. - Bernama