Pages

Monday, July 16, 2012

Lagi 118 maut di Syria

Penunjuk perasaan antirejim mengadakan bantahan di Kafrawaid, berhampiran Idlib, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 14 Julai - Sekurang-kurangnya 118 orang termasuk penduduk awam terkorban di Syria semalam, apabila tentera kerajaan melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan yang menyertai satu bantahan antirejim.
Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia melaporkan, 11 daripada 49 orang awam yang terbunuh adalah kanak-kanak, 37 adalah askar dan 32 pejuang pemberontak.
Kejadian tersebut berlaku ketika penunjuk perasaan berarak di daerah Nahr Aysha dan daerah Sayida Zainab di Damsyik semalam, bagi memperbaharui tuntutan mereka untuk menjatuhkan rejim.
Keadaan itu menyebabkan tentera terpaksa melepaskan tembakan untuk menyuraikan protes.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, 14 orang awam terbunuh di daerah Tadamon dan di kem pelarian Palestin di Yarmuk akibat bedilan tentera rejim.
Menurut kumpulan yang berpangkalan di Britain itu, sekurang-kurangnya 18 pemberontak terbunuh apabila tentera menyerbu wilayah Idlib.
Keadaan itu berlaku sehari selepas lebih 200 orang maut di Syria, termasuk lebih 150 penduduk kampung Treisma apabila tentera menyerang pemberontak menggunakan kereta kebal dan helikopter perang.
Bagaimanapun, jumlah itu tidak dapat dipastikan.
Kumpulan pemantau berkata, lebih 17,000 orang telah terbunuh sejak pemberontakan terhadap rejim Presiden Bashar al-Assad meletus pada pertengahan Mac tahun lalu. - AFP

No comments: