Pages

Friday, July 13, 2012

Duta Syria di Iraq berpaling tadah

DAMSYIK: Tekanan terus memuncak ke atas Presiden Bashar al-Assad selepas seorang diplomat kanan Syria berpaling tadah, semalam.
Pada masa sama, Barat turut memberikan tempoh 10 hari kepada Bashar sebelum mengenakan sekatan ke atas negaranya. Duta Syria ke Iraq, Nawaf Fares, mengumumkan dia menyertai pegawai kerajaan yang menyokong pembangkang. “Saya mengumumkan membelot daripada jawatan sebagai wakil Syria di Iraq dan menarik diri daripada Parti Baath,” katanya.

Nawaf juga menggesa rakyat Syria, terutama dalam angkatan tentera negara itu supaya segera menyertai orang awam dalam revolusi. “Sasarkan semua meriam dan kereta kebal ke arah penjenayah dalam rejim yang membunuh rakyat,” katanya.
Menjadi antara pengkritik utama Bashar, Nawaf kini berlindung di Qatar. Sebelum ini, Nawaf dilantik sebagai gabenor bagi wilayah Syria dan memegang jawatan kanan dalam Parti Baath.

Dia dibesarkan dalam keluarga Sunnah di timur Syria dan menjadi duta ke Iraq sejak September 2008. Kementerian Luar Syria pula menyatakan, Nawaf “digugurkan” selepas membuat kenyataan media yang bercanggah daripada tugasnya.

“Dia akan didakwa dan tertakluk kepada tindakan disiplin,” kata kenyataan kementerian itu. - AFP

No comments: