Pages

Saturday, June 23, 2012

981 pelarian Rakhine kembali ke rumah

YANGON 22 Jun - Kira-kira 981 penduduk yang melarikan diri akibat keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, barat Myanmar sejak 8 Jun lalu, mula kembali ke kampung halaman mereka di pekan Maungtaw minggu ini.
Media rasmi kerajaan hari ini melaporkan, pelarian yang terdiri daripada 213 keluarga itu kembali ke kampung halaman masing-masing selepas pihak berkuasa berjaya mengembalikan keamanan dan kestabilan di kawasan tersebut.
Pihak berkuasa turut memberi jaminan keselamatan kepada mereka yang pulang, menurut agensi berita Xinhua yang memetik laporan New Light of Myanmar.
Menurut laporan sebelum ini, sejumlah 37 khemah pelarian dibuka bagi menempatkan sebanyak 31,884 keluarga yang melarikan diri daripada keganasan etnik dan agama di Rakhine.
Bagaimanapun, situasi di negeri itu kini secara keseluruhannya kembali pulih selepas perintah darurat dan berkurung dikuatkuasakan di enam kampung, termasuk Maungtaw dan ibu negeri Sittwe sejak 10 Jun lalu.
Menurut pendedahan terbaru kerajaan, sejumlah 62 orang terbunuh dalam keganasan di negeri itu sejak 28 Mei lalu hingga semalam.
Jumlah itu termasuk 12 orang yang maut dalam rusuhan terbaru di kampung Yadae Taung, walaupun selepas perintah darurat dan berkurung dikuatkuasakan. - BERNAMA

No comments: