Pages

Friday, May 11, 2012

Gillard tak ikut Obama


Barack Obama (kiri) dan   Julia Gillard.
Barack Obama (kiri) dan Julia Gillard.

PM Australia tolak perkahwinan sejenis

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Julia Gillard tetap menolak perkahwinan sejenis meskipun Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memecah tradisi politik di negaranya apabila menyokong pasangan sama jantina berkahwin.
“Saya tidak akan mengundi menyokongnya,” kata Gillard mengenai pendiriannya tidak menyokong satu rang undang-undang menggesa perkahwinan sejenis disahkan apabila undian diadakan mengenainya lewat tahun ini di Parlimen.
Saya tidak akan mengundi menyokongnya. - Julia Gillard, Perdana Menteri Australia
Pada 2004, Australia meluluskan pindaan undang-undang yang secara jekas mentakrifkan perkahwinan sebagai antara lelaki dan wanita meskipun ada pihak menganggap tekanan meningkat supaya perkara itu diubah.

Disember lalu, Parti Buruh yang memerintah menarik balik penentangan terhadap perkahwinan sejenis selepas 10,000 orang berarak ke tapak persidangannya. Pada masa ini, ada dua usul dikemukakan mengenainya di Parlimen.

Pada masa sama, parti itu membenarkan anggotanya membuat keputusan sendiri mengenai perkara itu dan ini bermakna penentangan terhadap perkahwinan sejenis akan kekal kerana pengundi berkecuali biasanya tidak menyokong pasangan sama jantina berkahwin.

Ketika ditanya wartawan selepas Obama menyatakan sokongan, Gillard berkata: “Saya sudah buat keputusan dan semua orang tahu pendirian saya dalam hal ini.” Di WASHINGTON, Obama pula dilihat memperjudikan kerjaya politiknya apabila beliau secara terbuka menyokong perkahwinan sejenis.

“Saya baru merumuskan bahawa adalah penting untuk saya pergi lebih jauh dalam perkara ini dan menegaskan bahawa saya berpendapat pasangan sama jantina sepatutnya boleh berkahwin,” kata Obama.

ABC News yang mewawancara Presiden Amerika itu menyifatkan langkah Obama itu boleh menggagalkan peluangnya untuk memenangi penggal kedua pada November ini.

Pada Selasa lalu, sebanyak 61 peratus penduduk Carolina Utara mengundi untuk melarang perkahwinan sejenis dan perbuatan tinggal bersama tanpa ikatan sah.
Calon Presiden Republikan, Mitt Romney pula menyatakan sokongan kepada kelulusan undang-undang berkenaan. – AFP

No comments: