Pages

Sunday, May 6, 2012

Dua pelajar lemas di Sungai Machang

Berita Harian Online | Dua pelajar lemas di Sungai Machang:

5 mandi sungai balik dari rumah guru silat

KOTA BHARU: Kegembiraan lima pelajar mandi di Sungai Machang, Limbat dekat sini berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas, petang semalam. 

Difahamkan, sebelum kejadian kira-kira jam 5 petang, mangsa, Wan Muhammad Nadzri Wan Mahmud Sabri, 14, dan Abu Hamid Fadzir, 14, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Rahmah, Kubang Kerian pergi ke rumah guru silat mereka untuk berlatih, tetapi terpaksa berpatah balik kerana gurunya tiada di rumah.
Ibu Abu Hamid, Sabariah Jaafar, 46, berkata anak keenam daripada 14 beradik itu keluar rumah kira-kira jam 4 petang bersama rakannya, Wan Muhammad Nadzri dengan menaiki basikal untuk belajar silat di rumah guru mereka.
Bagaimanapun, dia dikejutkan dengan kejadian lemas membabitkan anaknya itu apabila seorang rakan arwah datang ke rumah dalam keadaan cemas kira-kira jam 6 petang. 

“Sebelum kejadian, saya melarangnya keluar kerana cuaca mendung pada petang itu, namun dia tetap berkeras untuk keluar bersama rakannya. 

“Saya diberitahu, pada mulanya mereka keluar untuk belajar silat di rumah tok guru (silat) yang berdekatan dengan sungai itu, namun disebabkan guru silat tiada di rumah, mereka ke sungai untuk mandi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Paduka, Kubang Kerian di sini, semalam. 

Seorang saksi, Mohd Yusof Mohd Yunus, 60, berkata dia sedang menjala ikan berhampiran tempat kejadian sebelum rakan mangsa datang meminta pertolongan untuk menyelamatkan mangsa. 
"Saya bergegas ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku, namun sudah terlambat kerana kedua-dua mangsa tenggelam sebelum saya menghubungi bomba. 

"Kejadian itu berlaku begitu pantas dan saya tidak sempat menyelamatkan mangsa, malah hujan lebat selepas kejadian menyebabkan penduduk kampung sukar memberi pertolongan dan terpaksa menunggu bantuan bomba," katanya. 

Ketua Penguasa Bomba Zon Kota Bharu, Mohd Syukri Ismail, berkata gerakan mencari mangsa dilakukan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan dan menemui mayat Wan Mohd Nazri pada jam 6.51 petang manakala mayat Abu Hamid, jam 8.15 malam. 

No comments: