Pages

Friday, April 13, 2012

Negara berpecah Sudan bertempur

JUBA 12 April - Pesawat perang Sudan buat pertama kali melancarkan serangan ke atas bandar utama Sudan Selatan dengan menggugurkan lima bom di ibu negeri Unity semalam.
Timbalan Menteri Penerangan Sudan Selatan, Atem Yaak Atem berkata, serangan dalam pertempuran hari ketiga berturut-turut di bandar Bentiu itu, disasarkan ke arah sebuah jambatan.
Pertempuran terbaru itu, yang paling teruk sejak Sudan Selatan mencapai kemerdekaan pada Julai lalu selepas perang saudara paling lama di dunia, menemukan kembali dua musuh dan meningkatkan kemungkinan berlakunya perang.
Parlimen di kedua-dua pihak kelmarin menggesa rakyat mempertahankan negara masing-masing, tetapi Atem menyatakan Sudan Selatan masih tidak mahu berperang.
"Kami tidak mahu berperang kecuali ingin mempertahankan negara kami,'' katanya.
Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan ekoran serangan udara semalam.
Atem memberitahu, jambatan yang disasarkan itu terletak berdekatan kompleks Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu di kawasan pinggir bandar dengan jalan menghala ke utara sempadan.
"Kami tidak terkejut dengan serangan ini kerana kami tahu mereka (Sudan Utara) sengaja mencari alasan untuk berperang.
"Mereka juga tidak pernah mengiktiraf kenyataan bahawa negara kami telah merdeka. Kejadian ini (pengeboman) merupakan cara mereka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kemerdekaan kami," kata Atem. - AFP

No comments: