Pages

Sunday, March 18, 2012

Askar AS ingkar larangan minum arak

Berita Harian Online | Askar AS ingkar larangan minum arak:
  • Foto
    PASUKAN keselamatan berlindung selepas Taliban melepaskan tembakan ketika lawatan pegawai tertinggi Afghanistan ke Panjawi, Kandahar, baru-baru ini.
  • Foto
    ROBERT Bales (kiri) ketika di Pusat Latihan Nasional, di Fort Irwin, California, sebelum ditugaskan ke Afghanistan tahun lalu.
Suspek amuk didapati ambil alkohol sebelum serbu dua kampung, bunuh 16 orang

KABUL: Pihak berkuasa tentera Amerika melarang pengambilan alkohol di kalangan anggotanya di Afghanistan tetapi tidak menghalang sesetengah anggota daripada minum sebotol dua bagi menghilangkan ketagih mereka.
Fakta ini, selain masalah kewarasan mental dan trauma, diberi tumpuan khusus oleh pasukan penyiasat negara bagi menentukan punca seorang sarjan tentera didakwa menembak mati 16 orang awam Afghanistan.
Penyiasat sudah mengenal pasti suspek meminum arak sebelum meninggalkan pangkalan pada malam serangan, kata pegawai pertahanan kanan Amerika kelmarin.

“Persoalan sejauh mana arak mendorong serangan itu masih dalam penyiasatan,” kata pegawai yang enggan nama disiarkan kerana pendakwaan masih belum difailkan.

Suspek berusia 38 tahun dikenali sebagai Staf Sarjan Robert Bales dikatakan meninggalkan pangkalan tentera jam 3 pagi Ahad lalu, berjalan menuju ke dua buah kampung berhampiran sebelum menyerbu masuk ke sebuah rumah dan melepaskan tembakan yang membunuh 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak. 

Awal minggu ini, seorang pegawai pertahanan kanan memberitahu Associated Press bahawa pihaknya menemui arak di pangkalan tentera, Kem Belambai di daerah Panjwai. 
Peguam sarjan itu, John Henry Browne dari Seattle, berkata wujud laporan bercanggah mengenai isu yang menyebabkan suspek bertindak sedemikian termasuk minum arak, tekanan dan isu domestik. 

Beliau berkata, keluarga suspek tidak mengetahui beliau mengalami masalah ketagihan arak. 

Katanya, sehari sebelum kejadian amuk itu, anggota yang berkhidmat untuk kali keempat di negara bergolak termasuk di Iraq, menyaksikan kaki rakan sepasukannya hancur akibat terkena bom. 

Browne berkata, beliau menghubungi anak guamnya kelmarin yang kelihatan keliru mengenai sesetengah fakta dalam kes. 

“Saya bimbang mengenai tahap kewarasannya,” katanya. 

Suspek ditahan di Kuwait selepas dipindahkan dari Afghanistan, satu langkah yang mencetuskan kemarahan pegawai Afghanistan yang mahukan beliau dibicarakan di negara itu secara terbuka.

Seperti banyak peraturan dalam zon perang, larangan minum arak termaktub dalam Arahan Am Nombor Satu tentera Amerika, tetapi ia jarang dipatuhi. 

Di Afghanistan, tentera dari negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dibenarkan minum minuman keras. Ini bermakna ada ‘limpahan arak’ di kalangan tentera Amerika di pangkalan mereka.

Tentera Jerman yang berpangkalan di utara Afghanistan dibenarkan minum dua tin bir sehari di pangkalan utama di utara Afghanistan tetapi tidak di kem kecil.

Di Kabul, sebuah pangkalan tentera yang kebanyakannya menempatkan tentera Eropah mempunyai dua gudang minuman keras.

Di Lapangan Terbang Kandahar, pangkalan udara utama di selatan Afghanistan, pasukan Kanada sering mengadakan malam minum bir sebelum mereka pulang pada musim panas ini. Setiap orang dihadkan kepada dua bir dan setengah botol wain.

Selain itu, tentera Amerika kadang kala turut menerima bungkusan minuman keras yang dihantar ahli keluarga dan rakan, sering disorokkan bersama beberapa jenis botol lain. – AP/Agensi
'via Blog this'

No comments: