Pages

Wednesday, March 21, 2012

30 kaki judi terima ‘habuan’

SHAH ALAM: Seramai 24 warga Indonesia termasuk seorang wanita dan empat rakyat tempatan didenda RM2,500 atau penjara tiga bulan selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, terhadap tuduhan berjudi sabung ayam, bola gelek dan belangkas dalam semak berhampiran landasan kereta api di Seksyen 17, di sini, dua minggu lalu.
Dua lagi pendatang asing tanpa izin warga Indonesia dihukum penjara tiga bulan bermula semalam selepas mengaku salah terhadap kesalahan sama. Mengikut kertas pertuduhan, semua 30 tertuduh berusia antara 26 dan 57 tahun didakwa berjudi di kawasan semak di belakang kuil berhampiran landasan kereta api berkenaan, kira-kira jam 11.15 pagi, 11 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 7(2), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 7(7) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM5,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. Terdahulu, tertuduh yang sebahagian besarnya buruh merayu mahkamah meringankan hukuman kerana mereka berpendapatan rendah.

No comments: