Pages

Thursday, January 26, 2012

AS tekad halang nuklear Iran

WASHINGTON 25 Jan. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berkata, penyelesaian masih boleh dicapai secara aman dalam konfrontasi antarabangsa dengan Iran berhubung program nuklearnya tetapi beliau enggan menolak tindakan ketenteraan sebagai satu pilihan.
Kenyataan Obama itu membayangkan kesempatan untuk diplomasi semakin terhad, terutamanya ketika Iran sudah mengancam untuk menutup Selat Hormuz iaitu laluan utama bagi bekalan minyak dunia, ekoran sekatan antarabangsa yang semakin ketat dihadapinya.
Masyarakat antarabangsa sudah mengatasi perbalahan (berhubung isu Iran) dan kini bersepakat mengenai langkah untuk menyekat cita-cita nuklear Iran, kata Obama dalam ucapan tahunannya kepada anggota kedua-dua dewan Kongres AS, malam tadi.
Kesepakatan tersebut dicapai menerusi 'kekuatan diplomasi kita', kata Presiden itu, tanpa menyentuh kenyataan bahawa Rusia dan China terus berkeras menentang tindakan untuk memperketatkan sekatan ke atas Teheran.
"Amerika bertekad untuk menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear, dan saya tidak menolak sebarang tindakan untuk mencapai matlamat itu.
"Namun penyelesaian isu ini masih boleh dicapai secara aman, dan inilah yang jauh lebih baik," kata Obama.
Presiden daripada Parti Demokrat itu menyampaikan ucapan 'State of the Union' tersebut 10 bulan sebelum beliau dijadual bertanding semula untuk menduduki penggal kedua di White House.
Lawan Obama daripada Parti Republikan menggambarkan beliau sebagai tidak tegas terhadap Iran.
Pada November lalu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melaporkan, agensi itu mendapat gambaran keseluruhan bahawa Teheran 'menjalankan beberapa aktiviti yang ada kaitan dengan pembangunan sebuah bom nuklear'.
Teheran menolak laporan itu sebagai tidak berasas. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: