Adakah Libya berada di landasan betul?

Ada pihak mula mempersoalkan sama ada Libya kini berada di landasan yang betul selepas kerajaan mengumumkan pembentukan Kabinet baru di negara itu pada bulan lalu?

Beberapa pendapat menyatakan kerajaan baru Libya bakal berhadapan dengan cabaran yang sukar dalam masa beberapa bulan ini kerana kerajaan baru tersebut perlu memulihkan ketenteraman, menggubal perlembagaan dan harus bersedia untuk mengadakan pilihan raya berbentuk demokrasi di negara tersebut.

Bulan lalu, pemangku Perdana Menteri, Abdurrahim el-Keib mengumumkan puluhan senarai nama yang akan menyertai beliau dalam Lembaga Eksekutif Peralihan.

Beliau turut memberi jaminan mereka yang terpilih akan mewakili seluruh kawasan di Libya.

Harapan untuk melihat Libya bersatu pada masa hadapan mungkin sukar untuk diramal.

Adakah mereka yang terpilih sememangnya mewakili puak wilayah di seluruh negara?

Dan jika tidak, bagaimana mereka yang tersisih akan bertindak?

Beberapa penganalisis bertindak melontarkan pendapat mereka terhadap pembentukan Kabinet baru Libya yang telah mendapat kelulusan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), 22 November lalu.

Pengarah Kajian Timur Tengah di Universiti Exeter, Omar Ashour berkata, sebahagian besar ahli barisan kerajaan baru Libya terdiri daripada golongan teknokrat (individu yang mahir dalam bidang teknologi) dan bukannya orang politik.

“Pada masa ini juga, kumpulan pemberontak masih berkuasa di beberapa kawasan, yang mana konflik masih tercetus kerana wujud persaingan untuk merebut kuasa,” menurutnya.

Apa yang diharapkan oleh banyak pihak adalah kerajaan baru Libya akan berupaya menyatukan pemberontak, sekali gus boleh memberi peluang pekerjaan baru dalam bidang ketenteraan kepada mereka.

Dalam satu kenyataan lain, Pengerusi Jabatan Sains dan Geografi di Universitu Texas, San Antonio berkata, puak di timur Libya sudah menunjukkan tanda-tanda tidak berpuas hati dengan pembentukan kerajaan baru Libya itu.

Menurutnya, ini kerana kebanyakan ahli Kabinet terdiri daripada individu mewakili bahagian barat Libya.

Mereka ini bakal memimpin kawasan timur, di mana ia sememangnya terkenal sebagai kawasan antiGaddafi yang telah mencetuskan pertempuran terbesar untuk menentang pasukan pertahanan pemimpin veteran tersebut termasuk di Benghazi dan Tobruk.

Penduduk di timur mungkin boleh lagi menerima Tripoli sebagai ibu negara Libya tetapi mereka masih mahu melihat lebih banyak kuasa dikongsi bersama di seluruh negara.

Kerajaan baru ini juga didakwa sudah menunjukkan tanda-tanda kronisme kerana beberapa jawatan disandang oleh mereka yang mempunyai kaitan dengan NTC dan perdana menteri.

Walaupun masih terlalu awal untuk meramal jenis sistem kerajaan yang akan dilaksanakan, sudah jelas bahawa mereka mampu untuk bekerjasama dengan negara-negara Barat kerana kebanyakan ahli Kabinetnya adalah lulusan luar negara dan pernah menetap di sana.
Pada masa ini, Libya dilihat seperti mahu membina hubungan erat dengan negara Barat berbanding dengan negara jiran seperti Chad dan Niger.

“Jika dilihat pada sudut positif, mereka perlu menjalinkan hubungan tersebut bagi memulihkan semula ekonomi Libya ,” menurut Antonio.

Dalam masa sama, kerajaan baru itu juga mahu menghidupkan kembali sistem fahaman puak yang didakwa masih lagi tidak stabil di Libya.

David Pollock dari yang pernah berkhidmat sebagai penasihat kanan Timur Tengah di Jabatan Negeri Amerika Syarikat pula menyokong pembentukan Kabinet baru tersebut kerana ia seakan memberi harapan baru di Libya walaupun masih terlalu awal untuk diperkatakan.

“Kerajaan sementara Libya di bawah Keib dilihat bersungguh-sungguh mahu membina semula negara itu walaupun wujud pelbagai kekangan tetapi mereka tetap cuba untuk bertoleransi dengan semua pihak,” menurutnya.

Beliau melihat Keib sebagai tokoh teknokrat kerana telah melantik pemimpin yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang.

“Barisan Jemaah Menteri juga menunjukkan keseimbangan kerana dibarisi individu yang telah lama menetap di Libya,” katanya.

Dalam masa yang sama, Pollock melihat keadaan di negara itu sudah semakin pulih dan pertempuran antara puak semakin terkawal berbanding beberapa bulan lalu.

“Dari segi praktikal, keadaan di Libya sudah semakin terkawal dan jika dilihat pada sudut ekonomi mereka kini sedang berusaha mulihkannya semula,” jelas Pallock lagi.

Dalam perkembangan terbaru, ketua NTC, Mustafa Abdel Jalil, kelmarin turut menyatakan kerajaan bersedia memberi pengampunan kepada pasukan barisan pertahanan Gaddafi yang telah berjuang menentang pemberontak semasa mereka cuba untuk menggulingkan rejim pemerintahan selama 42 tahun pemimpin veteran Libya tersebut.

“Libya adalah milik semua. Jadi, kita seharusnya mengamalkan sikap bertolak-ansur terhadap sesuatu perkara walaupun tentera Gaddafi pernah melakukan kekerasan di seluruh negara, kami tetap bersedia memaafkan mereka,” menurutnya semasa merasmikan sidang perdamaian anjuran NTC.

Sidang perdamaian itu adalah yang pertama kali diadakan sejak NTC mengisytiharkan pembebasan seluruh Libya pada 23 Oktober lalu, tiga hari selepas Gaddafi dibunuh pemberontak di Sirte.

Ia turut dihadiri wakil puak dan kumpulan etnik dari seluruh wilayah Libya serta delegasi Qatar dan Tunisia.

Dalam satu kenyataan, Kib menegaskan perdamaian kebangsaan adalah sebagai satu langkah penting untuk membina semula institusi perlembagaan negara.

“Keamanan di wilayah akan menjadi kunci kestabilan negara pada masa hadapan. Libya tidak boleh dibina semula jika ia berlandaskan perasaan dendam,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, kerajaan di bawah pimpinan pemangku perdana menteri tersebut turut berhadapan tekanan selepas beberapa pihak menggesa beliau untuk melucutkan senjata bekas pemberontak yang kini berterusan mengawal keselamatan di beberapa bandar.

Libya sudah mendahului negara lain di rantau Arab yang sedang bergolak dengan melakukan pembaharuan yang diharap dapat memuaskan hati semua pihak terutamanya penduduk di negara tersebut.

Masa depan Libya juga terletak di tangan Lembaga Eksekutif Peralihan.

Namun, persoalannya kini adakah mereka berjaya menerajui Libya lebih baik daripada pemerintahan Gaddafi atau sebaliknya?