Pages

Sunday, December 18, 2011

43 kes permohonan murtad dibawa ke Mahkamah Syariah Perak - Timbalan Mufti



KUALA KANGSAR 17 Dis. - Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim mendedahkan, terdapat 43 kes aduan berkaitan permohonan murtad di seluruh negeri ini yang dibawa ke Mahkamah Syariah sehingga November lalu.
Menurut beliau, terdapat 52 lagi kes umat Islam yang diberikan bimbingan dan kaunseling bagi mengelakkan mereka murtad.
"Dalam kes aduan memohon murtad ini, sebahagiannya memang merupakan anak atau keluarga Islam, tetapi tidak dibesarkan dalam keadaan sebagai muslim.
"Sebahagiannya lagi ialah permohonan daripada individu yang sebelum itu sudah masuk Islam tetapi memohon untuk kembali kepada agama asal," katanya.
Beliau mendedahkan demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Sejuta Umat: Selamatkan Akidah (Himpun) yang dihadiri 3,000 umat Islam di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Zamri berkata, statistik itu seharusnya dijadikan iktibar bahawa kebimbangan ramai pihak termasuk Himpun mengenai gejala murtad sememangnya berasas dan tidak wajar diambil ringan.
"Statistik itu hanya melibatkan kes-kes yang dilaporkan di mahkamah dan kita tidak tahu berapa ramai lagi orang muslim yang hanya pada nama, tetapi tidak lagi mengamalkan kehidupan sebagai orang Islam," tambahnya.
Dalam ucapannya, beliau mengajak umat Islam supaya menggembleng tekad dan usaha dalam memelihara kesucian agama dan tidak sesekali membiarkan akidah umat Islam dipermain-mainkan.
Katanya, perpaduan umat Islam sepatutnya menjadi keutamaan pada masa ini ketika wujud pihak tertentu yang semakin berani memperlekeh kesucian agama.

No comments: