Pages

Thursday, November 17, 2011

Anak lelaki Gaddafi tinggal di Niger


NIAMEY 16 Nov. – Niger akan terus membenarkan anak lelaki Muammar Gaddafi, Saadi tinggal di negara ini sehinggalah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menarik balik larangan perjalanan terhadapnya, meskipun Tripoli meminta beliau dihantar balik ke Libya.

Saadi melarikan diri ke Niger dengan merentasi Gurun Sahara semasa rejim bapanya runtuh pada Ogos lalu.

Beliau tinggal di Niger sejak itu dan Niamey memberinya suaka politik atas dasar kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki Gaddafi, Saif al-Islam, dipercayai berlindung di Niger atau negara jiran, Mali tetapi kedua-dua negara menafikan kehadirannya.

Seperti ramai lagi anggota kanan rejim Gaddafi, Saadi yang merupakan ahli perniagaan dan bekas pemain bola sepak profesional, dilarang melakukan perjalanan dan asetnya dibekukan oleh satu resolusi Majlis Keselamatan PBB apabila keganasan mula meletus di Libya pada awal tahun ini.

“Kami wajib mematuhi resolusi itu, dan selagi ia tidak ditarik balik, beliau akan terus berada di Niger,” kata Menteri Luar Niger, Bazoum Mohamed malam tadi.

Interpol telah mengeluarkan ‘notis merah’ untuk meminta negara-negara anggota menangkap Saadi dengan tujuan untuk diekstradisi jika beliau didapati berada di wilayah mereka.

Hubungan Niger dengan para pemimpin sementara Libya kini tegang kerana pihak berkuasa di Tripoli mahu anak-anak lelaki Gaddafi dan sebarang aset yang mereka bawa, diekstradisi ke Libya bagi menjalani perbicaraan. – Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: