Pages

Tuesday, September 13, 2011

Anak Gaddafi lari ke Niger

TRIPOLI: Seorang anak lelaki Muammar Gaddafi, Saadi, melarikan diri ke Niger ketika tentera yang setia kepada kerajaan baru Libya berdepan dengan tentangan sengit luar jangkaan di kubu kuat pengikut setia bekas pemimpin itu.
Pemimpin nombor dua Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mahmud Jibril berkata, sebuah kerajaan sementara akan dibentuk dalam masa 10 hari tetapi menegaskan, pertempuran masih berlaku dan Libya belum bebas sepenuhnya.

Sementara itu, kehadiran Saadi di Niger diumumkan oleh jurucakap kerajaan negara itu, Marou Amadou.

“Hari ini, pasukan peronda tentera Niger memintas konvoi yang turut disertai oleh seorang anak Gaddafi.

“Dia ialah Saadi Gaddafi, bekas pemain bola sepak,” kata Amadou, yang juga Menteri Kehakiman Niger.

Menurutnya, konvoi itu kini dalam perjalanan ke Agadez (utara Niger) dan dijangka tiba di Niamey (ibu negara Niger) tidak lama lagi.


Saadi, 38, anak lelaki ketiga Gaddafi dan terkenal kerana sikap playboynya, bulan lalu menawar untuk menyerah diri jika tindakannya itu boleh menghentikan pertumpahan darah di Libya.

Dia bermain untuk pasukan Divisyen Pertama Itali, Perugia pada 2003 tetapi hampir tidak diturunkan langsung selepas digantung lapan bulan setelah dikesan positif nandrolone, sejenis steroid anabolic.
Dia mengumumkan persaraannya dalam arena bola sepak pada 2004 untuk menyertai tentera dan mengetuai satu unit elit.

Jumaat lalu, Niger berikrar menghormati komitmen antarabangsa jika rakyat Libya yang dikehendaki memasuki wilayahnya. Ia juga mengesahkan tiga jeneral era Gaddafi, termasuk ketua tentera udaranya, Al-Rifi Ali Al-Sharif, kini berada di Agadez. - AP

No comments: