Pages

Saturday, August 6, 2011

Israel bina 900 rumah baru Yahudi di Har Homa

BAITULMAQDIS 5 Ogos - Israel memberi lampu hijau kepada pembinaan 900 unit rumah baru di kawasan penempatan haram Yahudi di Har Homa, timur Baitulmaqdis, beberapa hari selepas rejim itu menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan damai baru dengan Palestin berdasarkan garis sempadan sebelum 1967.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Israel, bagaimanapun tidak menyatakan tarikh projek berkenaan akan dimulakan, tetapi menjangka proses pembinaan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini.
Projek tersebut sepatutnya diluluskan Mei lalu, tetapi ditangguh dua kali sebelum ini.
Langkah meluluskan projek tersebut menyaksikan rejim Zionis terus meluaskan penempatannya di kawasan penempatan penduduk atas bukit tersebut, yang mendapat kritikan hebat daripada Palestin serta masyarakat antarabangsa.
Har Homa terletak di barat daya Baitulmaqdis dan didakwa berada dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Baitulmaqdis, walaupun lokasi sebenarnya lebih hampir dengan bandar Baitulaham di Tebing Barat.
Pemantau projek penempatan haram Israel daripada kumpulan Peace Now, Hagit Ofran berkata, kelulusan terbaru itu merupakan 'perkembangan yang sangat dramatik' disebabkan lokasinya.
"Projek itu menyekat kawasan antara timur Baitulmaqdis dengan Baitulaham dan mungkin menghalang hasrat Palestin menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka dalam penyelesaian dua negara," katanya.
Menteri Dalam Negeri Israel, Eli Yishai dipetik laman web Ynet sebagai berkata, projek tersebut diluluskan berikutan bantahan penduduknya tentang kos perumahan yang semakin meningkat. - dpa/AFPutusan

No comments: