Pages

Friday, May 27, 2011

Thai buru 75 pembunuh upahan


Abhisit Vejjajiva (kiri) dan Thaksin Shinawatra.
Abhisit Vejjajiva (kiri) dan Thaksin Shinawatra.

Ketua polis arah operasi perketat keselamatan sebelum pilihan raya umum

BANGKOK: Ketua polis Thailand semalam mengarahkan anggota keselamatan melancarkan operasi memburu besar-besaran seluruh negara itu bagi memberkas 75 orang yang disyaki pembunuh upahan profesional dalam usaha meningkatkan keselamatan menjelang pilihan raya umum Julai depan.
“Seramai 29 orang berada dalam kumpulan pertama kerana melakukan jenayah serius berulang kali dan sesiapa yang dapat memberi maklumat hingga mereka ditangkap akan menerima ganjaran 100,000 baht (RM10,000),” kata Ketua Polis, Wichean Potephosree kepada pemberita.
“Kumpulan kedua pula membabitkan 46 penembak upahan bersenjata dan penangkapan mereka membabitkan ganjaran wang 50,000 baht (RM5,000),” katanya.

Wichean juga memberi amaran sesiapa yang merosakkan poster pilihan raya akan berhadapan dengan dakwaan jenayah.

“Mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didenda tiga bulan penjara, denda 6,000 baht (RM600) atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pilihan raya 3 Julai dilihat sebagai persaingan sengit antara parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, menentang sekutu bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang disingkirkan dalam rampasan kuasa 2006.
Adik perempuan Thaksin, Yingluck Shinawatra, adalah calon utama parti pembangkang, Puea Thai bagi jawatan Perdana Menteri.

Polis menekankan, mereka akan memberi tumpuan kepada operasi keselamatan prapilihan raya dengan merampas senjata api dan menahan penjenayah di 10 wilayah yang menjadi kawasan persaingan paling sengit.

Seorang ahli politik pembangkang ditembak dan mengalami kecederaan awal bulan ini ketika memandu keretanya apabila beliau diserang dalam kejadian dipercayai mempunyai motif politik.

Ahli politik berkenaan ialah bekas anggota parti Pheu Thai yang juga wakil daerah Samut Prakan, Pracha Prasopdee, yang cedera di belakang badan dan kepalanya.

“Saya tahu siapa yang mengupah supaya saya dibunuh. Seorang anak lelaki ahli politik pernah menghantar mesej menerusi pegawai kanan, dia akan menembak saya selepas saya tidak lagi menjadi ahli Parlimen.

“Tidak sampai dua hari selepas Parlimen dibubarkan, saya ditembak,” kata Pracha. – Agensi/AFP Berita Harian Online | Thai buru 75 pembunuh upahan

No comments: