Pages

Thursday, May 19, 2011

Taliban serang Peshawar




PASUKAN keselamatan Pakistan melihat lima mayat militan, termasuk tiga wanita yang mahu meletupkan diri mereka di Quetta, Pakistan, kelmarin. – REUTERS


PESHAWAR 18 Mei – Lebih 70 militan menyerang sebuah tempat pemeriksaan di pinggir bandar Peshawar hari ini yang mencetuskan insiden berbalas tembakan dan mengorbankan dua anggota tentera keselamatan serta lima lagi cedera.
Serangan berlaku berhampiran Khyber, kawasan bersempadan dengan Afghanistan, yang dianggap sebagai pusat global militan, termasuk al-Qaeda dan pergerakan Taliban Pakistan serta Afghanistan.
“Mereka menggunakan senjata AK-47 dan roket. Kami berjaya menangkis serangan pertama, tetapi mereka terus melancarkan serangan dan berlaku insiden berbalas tembakan selama lebih empat jam.
“Seorang polis dan seorang anggota separa tentera terbunuh dalam serangan itu,” kata pegawai keselamatan Abdul Jabbar.
Pegawai polis, Ejaz Khan memberitahu sekurang-kurangnya 15 militan turut terbunuh dalam insiden serangan itu.
Militan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dan Taliban meningkatkan serangan di Pakistan selepas pembunuhan Osama bin Laden di negara ini oleh pasukan tentera elit Amerika Syarikat (AS) pada 2 Mei lalu.
Pakistan turut menerima tekanan untuk membuktikan ia serius dalam memerangi militan selepas Osama didapati telah menetap di negara itu sekurang-kurangnya lima tahun.
Taliban Pakistan yang mempunyai kaitan rapat dengan al-Qaeda telah berjanji untuk membalas dendam atas kematian Osama dan mengaku bertanggungjawab atas insiden letupan berani mati di akademi separa tentera di bandar Charsadda di negara ini yang mengorbankan 80 orang minggu lalu.
Semalam, pasukan keselamatan menembak mati lima suspek militan Chechen yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda yang cuba melancarkan serangan berani mati di bandar Quetta. – REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: