Pages

Sunday, May 15, 2011

Presiden Syria arah usah tembak penunjuk perasaan

AMMAN: Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, telah mengarahkan pihak askar agar tidak melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan semalam.

Menurut pemimpin pembangkang, Encik Louay Hussein, beliau telah dimaklumkan oleh penasihat Presiden, Encik Bouthaina Shaaban, bahawa perintah itu telah dikeluarkan dan 'sesiapa yang melanggarnya akan dipertanggungjawabkan'.

Encik Hussein merupakan empat pemimpin pembangkang yang telah mengadakan pertemuan dengan Encik Shaaban baru-baru ini dan membentangkan tuntutan, antara lain agar pemerintah menghentikan tindakan ganas ke atas penunjuk perasaan.

Mereka juga menuntut agar pembaharuan politik dilaksanakan di negara yang telah diperintah oleh keluarga Assad sejak 1970.

Badan hak asasi kemanusiaan menganggarkan sekitar 700 orang telah dibunuh oleh pasukan keselamatan sejak bantahan ke atas pemerintah tercetus di bandar Deraa pada Mac lalu.

Sekurang-kurangnya 8,000 orang pula telah ditangkap.

Sementara itu, Australia semalam mengumumkan ia akan mengetatkan lagi sekatannya ke atas Syria.

Menteri Luar Australia, Encik Kevin Rudd, berkata bahawa tindakan pihak berkuasa Syria melepaskan tembakan ke atas para penunjuk perasaan sebagai 'amat dikesali'.

'Australia menggesa pihak berkuasa Syria agar menghentikan semua keganasan ke atas orang awam dan mengundurkan askarnya dari jalan-jalan raya di Daraa, Homs dan bandar-bandar lain,' kata Encik Rudd dalam satu kenyataannya.

Encik Rudd berkata pemerintahnya akan mengetatkan lagi sekatan kewangan ke atas pemimpin utama dalam rejim Presidem Assad.

Ia juga akan mengenakan larangan ke atas import senjata dan peralatan lain yang digunakan oleh rejim itu untuk menindas rakyatnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Syria, Encik Adel Safar, kelmarin mengumumkan program baru bagi institusi pemerintah menggajikan sekitar 10,000 lulusan universiti setiap tahun.

Kadar pengangguran di Syria ialah 20 peratus. -- AP, AFP, Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: