Pages

Wednesday, May 4, 2011

Osama dibunuh komando SEAL



IMEJ video yang diambil daripada ABC News merakamkan bilik tidur di sebuah rumah agam di mana Osama dibunuh dalam operasi tentera AS di bandar Abbottabat, Pakistan, kelmarin. – REUTERS


WASHINGTON 3 Mei – Pasukan tentera rahsia yang membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Pakistan kelmarin terdiri daripada anggota komando elit SEAL Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang diterbangkan khas menyeberangi sempadan dari Afghanistan.
Dalam operasi sulit itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa Pakistan, beberapa helikopter Blackhawk MH-60 yang diubah suai berlepas dengan membawa pasukan SEAL dari Pangkalan Udara Ghazi menuju ke bandar garison Abbottabad, kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Islamabad.
Sejumlah 22 orang terbunuh atau ditangkap selepas tembakan bertalu-talu dilepaskan selama lebih 40 minit, termasuk Osama yang mati akibat terkena dua tembakan di sebelah kiri muka.
Mayatnya dibawa dengan helikopter yang kembali ke pangkalan, manakala sebuah helikopter mengalami kerosakan mekanikal dan terpaksa dimusnahkan oleh tentera AS, kata pegawai tentera dan White House kepada akhbar National Journal, semalam.
Jika tidak kerana sasaran bernilai tinggi itu, misi tersebut boleh dianggap sebagai rutin bagi pasukan SEAL Team Six yang sangat terlatih, secara rasminya dikenali sebagai Kumpulan Pembangunan Peperangan Khas Tentera Laut tetapi sebagai DevGru di kalangan penduduk tempatan di pangkalan mereka di Dam Neck, Virginia.
Sasaran kali ini sangat istimewa dan serangan ke atas pekarangan sebuah rumah seluas setengah hektar di Abbottabad itu memerlukan latihan rapi, kerana itu mereka mendirikan pekarangan serupa di Camp Alpha, sebahagian daripada Pangkalan Udara Bagram di Afghanistan.
Operasi latihan diadakan beberapa kali pada awal bulan lepas.
DevGru terletak di bawah Pusat Pemerintahan Operasi Khas Bersama (JSOC), gabungan luar biasa terdiri daripada pelbagai pasukan petugas rahsia dan unit misi khas.
Mereka menjawab langsung kepada Presiden AS dan menjalankan operasi di seluruh dunia berdasarkan arahan sulit Presiden yang berteraskan undang-undang (atau luar batas undang-undang). – Agensi

No comments: