Pages

Thursday, May 5, 2011

CIA percaya Muammar Gaddafi masih hidup


BEBERAPA penduduk melihat sebuah kereta yang musnah akibat letupan bom yang dialihkan dengan menggunakan sebuah jentera di bandar Benghazi, Libya kelmarin.


TRIPOLI - Agensi Perisikan Pusat (CIA) percaya pemimpin Libya, Muammar Gaddafi masih hidup walaupun serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyebabkan anak lelaki bongsunya bersama tiga cucu terbunuh baru-baru ini.
Ketua CIA, Leon Panetta kelmarin memberitahu, perisikan terbaik CIA memaklumkan bahawa Gaddafi masih hidup walaupun dia tidak kelihatan di khalayak umum sejak serangan udara NATO pada Sabtu lalu.
Gaddafi dilaporkan berada di rumah anak bongsunya di sini bersama isterinya semasa jet-jet pejuang NATO melakukan serangan peluru berpandu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Kaim berkata, pemimpin veteran tersebut bertemu dengan para pemimpin suku kaum kelmarin.
Dalam perkembangan berkaitan, stesen televisyen Libya semalam menyatakan jet-jet pejuang NATO mengebom kawasan Al-Hayrah, barat Tripoli menyebabkan sejumlah orang mengalami kecederaan.
"Pihak penjajah, perikatan membedil Al-hayrah menyebabkan kecelakaan pada manusia dan merosakkan infrastruktur," kata stesen televisyen berkenaan.
NATO campur tangan di Libya dengan menguatkuasakan zon larangan terbang selepas dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengelak Gaddafi menyerang penduduk awam.
Pergolakan di Libya berlaku sejak 15 Februari lalu selepas sebahagian penduduk menentang kepimpinan Gaddafi. - Agensi,kosmo

No comments: