Pages

Friday, April 1, 2011

Tentera bantu selamat pelancong terkandas




PETUGAS mengangkut mayat penduduk yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di daerah Khao Phanom di wilayah Krabi, selatan Bangkok, semalam. - REUTERS


BANGKOK 31 Mac - Pasukan tentera Thailand menyertai operasi mencari mangsa yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh yang meranapkan rumah-rumah berikutan banjir melanda di wilayah selatan negara ini.
Menurut jurucakap tentera, Kolonel Sunsern Kaewkumnerd, kira-kira 150 anggota tentera dengan anjing pengesan menjalankan misi mencari dan menyelamat di wilayah Krabi selepas kejadian tanah runtuh dan dua mangsa disahkan terkorban.
Jalan raya dan landasan kereta api yang terputus akibat banjir menyebabkan ramai pelancong terperangkap di pulau-pulau peranginan di Teluk Thailand serta Laut Andaman ekoran perkhidmatan penerbangan dan feri dibatalkan.
Usaha membawa pulang pelancong yang terperangkap di pulau dijangka berjalan lancar ekoran jadual penerbangan ke Koh Samui beroperasi seperti biasa, malah pesawat penumpang, Chakri Naruebet turut menyertai operasi menyelamat itu.
Pihak tentera laut berkata, lebih banyak kapal akan digunakan untuk menyelamat pelancong yang terkandas di pulau-pulau berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suthep Thaugsuban berkata, perkhidmatan feri ke Koh Samui dan Koh Phangan turut pulih seperti biasa.
"Namun bagi kawasan pulau kecil seperti di Koh Tao, keadaannya sangat teruk, beribu-ribu pelancong terkandas di sana dan mereka tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi, oleh itu kami perlu menyelamatkan mereka dahulu," kata Thaugsuban.
Menurut pihak berkuasa tempatan, setakat ini seramai 13 terkorban akibat bencana itu dengan sembilan daripada mereka di wilayah Nakhon Si Thammarat, tiga di Surat Thani dan seorang di Phatthalung.
Sebanyak 81 daerah di lapan wilayah di selatan negara ini terjejas akibat banjir. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

1 comment:

mcm ni lah said...

bencana alam dah semakin menghampiri malaysia,.