Pages

Thursday, March 3, 2011

Tentera pro-Gaddafi tawan semula Marsa El Brega



TRIPOLI 2 Mac - Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi hari ini cuba menawan semula sebuah bandar di timur negara yang dikuasai pemberontak, namun usaha mereka gagal selepas pemberontak melakukan serangan balas sehingga memaksa tentera berundur.
Menurut pegawai yang menyokong pemberontak, Mohamed Yousef, tentera yang dihantar Gaddafi cuba merampas kembali Marsa El Brega dalam satu pertempuran ganas menggunakan kereta kebal, meriam dan serangan udara, namun gagal menguasai bandar yang terletak kira-kira 800 kilometer di timur Tripoli itu.
"Memang benar. Tentera turut mengebom Brega melalui serangan udara, tetapi usaha mereka sia-sia kerana kami berjaya melawan," katanya hari ini.
Televisyen al-Arabiya yang memetik saksi melaporkan, letupan rambang turut kedengaran di bandar terminal eksport minyak itu.
Tiga sumber tentera di kawasan yang dikuasai pemberontak di timur Libya memberitahu, beberapa pertempuran turut berlaku di bandar itu ketika tentera cuba menawan kembali Brega.
Seorang doktor di Ajdabiyah, kira-kira 40 kilometer dari Brega memberitahu AFP, serangan tersebut dilancarkan secara tiba-tiba pada waktu malam.
"Tentera Gaddafi turut menyerang lapangan terbang di Brega sebelum bertempur dengan pemberontak," kata Aymane al-Moghrabi.
Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Mussa Ibrahim segera menafikan laporan-laporan tentang pertempuran tersebut dengan mengatakan ia adalah palsu semata-mata.
"Saya ragu-ragu dengan laporan-laporan kejadian itu. Saya percaya ia adalah satu lagi berita palsu," katanya ketika ditanya tentang serangan di Brega dan Ajdabiyah. - Reuters/AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: