Pages

Thursday, March 3, 2011

Mesir siasat lagi tiga ahli politik



KAHERAH 2 Mac – Pendakwa raya Mesir akan menyiasat tiga lagi ahli politik berpengaruh negara ini berhubung dakwaan rasuah selepas rakyat mendesak pegawai-pegawai dihukum kerana jenayah itu, lapor agensi berita MENA semalam.
Mereka yang akan disiasat ialah bekas Speaker Parlimen Mesir, Fathi Sorour; bekas Setiausaha Agung Parti Demokratik Kebangsaan (NDP), Safwat el-Sherif; dan bekas Ketua Turus Presiden, Zakaria Azmi.
MENA bagaimanapun tidak menjelaskan dakwaan terlibat.
“Pendakwa raya telah mengarahkan Pertubuhan Audit Pusat, Lembaga Penyeliaan Tadbir dan Jabatan Siasatan Dana Awam diberitahu tentang dakwaan-dakwaan ini supaya ia boleh disiasat,” lapor MENA.
Pendakwa raya telah memulakan siasatan rasuah terhadap bekas-bekas pegawai dan ahli perniagaan sejak pemberontakan yang menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak tercetus pada 25 Januari lalu.
Sementara itu, pemerintah tentera Mesir dilapor telah bertemu pemimpin-pemimpin utama negara termasuk reformis Mohamed ElBaradei dan bekas ketua Liga Arab, Amr Moussa bagi membincangkan rancangan peralihan kuasa kepada pemerintahan rakyat.
Pertemuan semalam itu diketuai Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir, Hussein Tantawi. Majlis tersebut diberi mandat memerintah Mesir selepas Mubarak meletak jawatan selepas pemberontakan besar-besaran selama 18 hari.
Majlis itu juga telah mengarahkan pindaan Perlembagaan yang akan membenarkan peralihan kuasa kepada pemerintahan rakyat.
Bagaimanapun perubahan itu dikritik sebahagian pembangkang dan banyak pihak berkata adalah terlalu awal untuk mengadakan pilihan raya Presiden. – AgensiUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: