Pages

Monday, March 7, 2011

Gaddafi mahu PBB, AU siasat pergolakan Libya




Muammar Gaddafi


PARIS 6 Mac - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Kesatuan Afrika (AU) menjalankan siasatan mengenai kekacauan yang menggegarkan Libya dan berjanji penyiasat akan diberi kebebasan penuh.
Gaddafi dalam wawancara yang disiarkan hari ini membuat tuntutan pertama seumpamanya sejak meletus protes ganas menentang rejim beliau.
Beliau turut memberi amaran kekacauan tersebut boleh mendatangkan bencana bagi Eropah.
"Pertama sekali, saya mahu sebuah suruhanjaya siasatan PBB atau AU datang ke Libya.
"Kami akan membenarkan panel itu menjalankan tugas tanpa halangan," katanya kepada akhbar Perancis, Le Journal du Dimanche.
Beliau memberi sokongan kepada Perancis untuk 'menyelaraskan dan mengetuai' badan siasatan itu.
Sebelum ini anak Gaddafi, Seif al-Islam juga pernah menggesa supaya siasatan dalaman yang bebas dilancarkan mengenai kekacauan itu.
Gaddafi berkata, pemberontakan yang menimbulkan cabaran terbesar terhadap pemerintahannya akan membawa kesan meluas terhadap Eropah, yang telah bergelut untuk menyekat kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya dari Afrika Utara dan Asia.
"Beribu-ribu penduduk dari Libya akan membanjiri Eropah dan tidak ada siapa yang akan menghalang mereka," ujar beliau.
Pemimpin veteran itu mengulangi dakwaannya, pemberontakan menentang rejimnya didalangi oleh rangkaian al-Qaeda.
"Kamu menghadapi suatu jihad dari Mediterranean, Osama bin Laden akan berkuasa di Afrika Utara dan Osama akan menunggu di pintu pagar kamu," katanya. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: