Pages

Wednesday, February 16, 2011

Datuk Shah Rukh Khan kembali ke Melaka




MOHD. ALI (kanan) dan Shah Rukh Khan menunjukkan aksi istimewa ketika bertemu di Sungai Udang, Melaka semalam.


MELAKA – Datuk Shah Rukh Khan muncul lagi di Melaka.
Kali ini, bintang Bollywood terkenal itu berada di negeri tersebut bagi penggambaran filem terbarunya Don 2.
Turut berlakon dalam filem tersebut adalah dua pelakon cantik dan seksi iaitu Priyanka Chopra dan Lara Dutta.
Filem terbitan dua penerbit iaitu Ritesh Sidwani dan Farhan Akhtar dan diarahkan oleh Farhan itu menjadikan tiga tempat di negara ini iaitu Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Langkawi sebagai lokasi penggambaran yang akan memakan masa hampir sebulan.
Bagaimanapun di negeri ini, hanya lima hari sahaja bintang itu terlibat dengan penggambaran filem tersebut di sebuah kawasan di Sungai Udang dekat sini.
Ketika ditemui pemberita selepas berhenti rehat, pelakon berusia 46 tahun itu memberitahu, Melaka lebih sesuai untuk penggambaran filem romantik.
“Kebanyakan kawasan di tepi sungai di negeri ini sangat cantik, alangkah sesuai jika sebuah filem romantik dibuat di sini,” katanya yang gemar membuat lawak.
Dalam filem Don 2, seramai 140 krew terlibat termasuk pelakon filem tersebut.
Apa yang mengejutkan filem itu turut menampilkan pelakon lelaki kacak tempatan Ady Putra.
Turut meninjau tempat penggambaran filem itu iaitu Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang meluangkan masa kira-kira tiga jam beramah mesra dengan Shah Rukh Khan yang popular dengan filem Kuch Kuch Hota Hai.
Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi merupakan aktor pertama dari industri filem India yang dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.
Majlis anugerah tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob pukul 10 pagi pada 10 Oktober 2008.
Anugerah tersebut adalah sebagai menghargai sumbangan beliau yang memaparkan kawasan menarik di Malaysia termasuk A’Famosa Resort di Alor Gajar bagi filem One 2 Ka 4 pada tahun 2001.
Kosmo! Online - Negara

No comments: