Pages

Thursday, January 20, 2011

Laknat Allah

Gejala melaknatullah orang Islam lain didapati luas diamalkan oleh orang-orang Islam yang kurang celik dalam isi kandungan kitab al-Qur'an. Frasa itu diguna dengan sewenang-wenang bila sahaja kepercayaan orang lain didapati tidak sama dengan mereka. Itu adalah kerana mereka menyangka sudah mendapat petunjuk yang benar walaupun petunjuk al-Qur'an enggan disimpan dalam karung pengetahuan mereka.
Perkataan laknat diterjemah daripada kalimat Allah, la'ana dan la'nah di dalam al-Qur'an. Kamus Dewan mengertikan laknat kepada "1. kemurkaan Allah dan jauh drpd petunjuk dan rahmat-Nya, kutukan: .... 2. terkutuk, keji, hina, celaka." Dan frasa laknatullah pula diertikannya kepada "dikutuk Allah". Sambil pengertian daripada al-Qur'an didapati agak berbeza sedikit dengan ditambah azab daripada-Nya, atau manusia, ke dalam maksud perkataan tersebut.
Allah melaknat
Al-Qur'an, selaku sebuah kitab petunjuk yang lengkap, telah menjelaskan perkara laknat dengan cukup. Ayat-ayat yang mengandungi kalimat itu memberi jawapan kepada soalan-soalan yang berbangkit. Misalan, sebab-sebab manusia dilaknati Allah. Sebabnya banyak, dan disenaraikan di sini menurut kronologi ayat-ayat tersebut. Enam belas sebab utama telah dikesan, seperti berikut:
1. Tidak percaya kepada ayat-ayat Allah.
Firman-Nya,
"Tidak, tetapi Allah melaknatkan mereka kerana ketidakpercayaan mereka;" (2:88).
Ayat yang pertama itu kemudian disokong oleh ayat yang berikut:
"Allah melaknatkan orang-orang yang tidak percaya, dan menyediakan untuk mereka yang Menyala," (33:64).
2. Ingkar kepada ayat-ayat Allah.
Ayat di bawah mengisahkan orang zaman dahulu yang didatangi Kitab Allah tetapi mengingkarinya. Mereka juga dikatakan tidak mempercayainya. Firman-Nya,
"Apabila datang kepada mereka sebuah Kitab daripada Allah yang mengesahkan apa yang bersama mereka, .... maka apabila datang kepada mereka apa yang mereka mengenali, mereka mengingkarinya; maka laknat Allah ke atas orang-orang yang tidak percaya." (2:89)
Tentu dilaknati-Nya juga orang-orang zaman ini yang mengingkari ayat-ayat-Nya.
3. Menyembunyikan ayat-ayat Allah.
Firman-Nya,
"Orang-orang yang menyembunyikan bukti-bukti yang jelas, dan petunjuk yang Kami menurunkan, setelah Kami memperjelaskan kepada manusia di dalam al-Kitab, mereka dilaknati Allah ...." (2:159)
4. Tidak percaya sesudah beriman.
Firman-Nya,
"Mereka itu (yang tidak percaya sesudah beriman lalu menjadi zalim), balasan mereka ialah bahawa ke atas mereka laknat Allah ...." (3:87)
5. Mengelirukan makna-makna perkataan dalam agama.
Orang-orang (agama) Yahudi zaman dahulu telah mengelirukan makna perkataan, memutarbalikkan lidah mereka, dan memfitnah agama Allah. Sebenarnya, mereka tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Firman-Nya,
"Sebahagian daripada orang-orang Yahudi mengelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan mereka berkata, 'Kami dengar dan kami menentang', dan 'Dengarlah, dan jadilah kamu tidak mendengar', dan 'Peliharalah kami', memutarbalikkan lidah mereka dan memfitnah agama. Sekiranya mereka mengatakan, 'Kami dengar dan kami taat', dan 'Dengarlah', dan 'Awasilah kami', tentulah itu yang lebih baik bagi mereka, dan lebih tegak; tetapi Allah melaknatkan mereka kerana ketidakpercayaan mereka," (4:46).
Jangan pula menyangka apa yang dilakukan oleh orang agama di kalangan Yahudi dahulu tidak dilakukan oleh orang agama dalam Islam. Penyakit manusia sama antara kaum.
Selain mengelirukan makna-makna perkataan, mereka juga memecahkan perjanjian mereka, dan melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka. Firman-Nya,
"Maka kerana memecahkan perjanjian mereka, Kami melaknatkan mereka, dan menjadikan hati mereka keras. Mereka mengelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan mereka melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diperingatkan;" (5:13).
6. Melanggar larangan Allah.
Seperti larangan pada hari Sabat bagi kaum Bani Israil. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang diberi al-Kitab, percayalah kepada apa yang Kami menurunkan, yang mengesahkan apa yang bersama kamu sebelum Kami menghapuskan muka-muka, dan memusingkannya di atas belakangnya, atau melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknati orang-orang Sabat, dan perintah Allah adalah dibuat." (4:47)
7. Mengambil sebahagian sahaja daripada al-Kitab.
Orang-orang yang diberi Allah hanya sebahagian daripada Kitab, atau yang mengambil sebahagian daripadanya sahaja (atau yang tidak berpegang pada seluruh Kitab), didapati berpegang pada, seperti Jibti dan Thagut, yang telah dipegang oleh sesetengah orang zaman dahulu. Mungkin pada hari ini di kalangan orang Islam namanya lain pula.
Selanjutnya mereka mengatakan mereka lebih mendapat petunjuk daripada orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah seluruhnya. Ini sedang berlaku. Firman Allah,
"Tidakkah kamu merenungkan orang-orang yang diberi sebahagian al-Kitab mempercayai Jibti dan Thagut, dan mengatakan kepada orang-orang yang tidak percaya bahawa mereka lebih mendapat petunjuk pada jalan daripada orang-orang yang percaya. Mereka itulah orang-orang yang Allahmelaknatkan, dan sesiapa yang Allah melaknati, kamu tidak akan mendapati baginya sebarang penolong." (4:51-52)
8. Membunuh orang mukmin.
Firman-Nya,
"Dan sesiapa membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya, dan Allah murka padanya dan melaknatkannya, dan menyediakan bagi mereka azab yang besar." (4:93)
9. Menyangka Allah lokek.
Orang-orang yang disebut dalam ayat di bawah telah direzekikan Allah, namun, mereka merasa tidak cukup lalu Allah dikatakannya lokek. Firman-Nya,
"Orang-orang Yahudi berkata, 'Tangan Allah terbelenggu.' Yang terbelenggu ialah tangan-tangan mereka, dan mereka dilaknati kerana apa yang mereka mengatakan. Tidak, tetapi tangan-Nya terjulur; Dia menafkahkan sebagaimana yang Dia mengkehendaki." (5:64)
10. Munafik.
Orang-orang munafik adalah mereka yang mengatakan percaya kepada ayat-ayat Allah tetapi sebenarnya tidak percaya. Mereka dikategorikan sama dengan orang-orang yang tidak percaya (kafir). Firman-Nya,
"Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki, dan orang-orang munafik perempuan, dan orang-orang yang tidak percaya, dengan api Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya. Cukuplah itu bagi mereka; Allah melaknatkan mereka, dan bagi mereka, azab yang kekal." (9:68)
Dalam ayat berikut pula, orang-orang munafik disebut bersama orang-orang yang menyekutukan, dan yang bersangkaan buruk terhadap Allah, sebagai golongan yang dilaknati Allah seterusnya. Firman-Nya,
"Dan supaya Dia mengazab orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan, dan orang-orang lelaki yang menyekutukan dan orang-orang perempuan yang menyekutukan, dan orang-orang yang bersangkaan dengan sangkaan buruk terhadap Allah; terhadap merekalah giliran yang buruk. Allah murka pada mereka, dan melaknatkan mereka, dan menyediakan untuk mereka Jahanam - satu kepulangan yang buruk!" (48:6)
11. Berdusta terhadap Allah.
Mereka juga dianggap zalim. Firman-Nya,
"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah? Mereka itu akan dikemukakan kepada Pemelihara mereka, dan para saksi berkata, 'Mereka itulah orang-orang yang berdusta terhadap Pemelihara mereka.' Ingatlah, laknat Allah adalah ke atas orang-orang yang zalim," (11:18).
Sekiranya kandungan kitab al-Qur'an tidak difahami bagaimana pula hendak mengenali orang-orang yang berdusta terhadap Allah!
12. Memecahkan perjanjian, memutuskan apa yang harus dihubungkan, dan membuat kerosakan di bumi.
Firman-Nya,
"Dan orang-orang yang memecahkan perjanjian setelah diikatkan dengan teguh, dan yang memutuskan apa yang Allah memerintahkan untuk dihubungkan, dan yang membuat kerosakan di bumi - bagi mereka adalah laknat, dan bagi mereka, tempat kediaman yang buruk." (13:25).
13. Menuduh wanita-wanita mukmin yang berkahwin melaku kesumbangan.
Firman-Nya,
"Sesungguhnya orang-orang yang membalingkannya kepada wanita-wanita yang berkahwin, yang lalai tetapi mukmin, akan dilaknati di dunia dan di akhirat; dan bagi mereka, azab yang besar." (24:23)
14. Menyakiti Allah dan Rasul-Nya.
Tentu sekali orang-orang yang dimaksudkan itu adalah yang tidak mengikuti ayat-ayat-Nya. Atau ingkar, dan sebagainya. Firman Allah,
"Orang-orang yang menyakiti Allah dan rasul-Nya, merekalah yang Allah melaknatkan di dunia dan akhirat, dan menyediakan bagi mereka azab yang hina." (33:57)
Tidak mungkin orang-orang yang mengikuti ayat-ayat-Nya baik dianggap sebagai "menyakiti Allah dan Rasul-Nya."
15. Zalim (sila rujuk Siapa sebenarnya orang zalim.)
Firman Allah,
"Pada hari apabila alasan-alasan mereka tidak bermanfaat kepada orang-orang yang zalim, dan bagi mereka laknat, dan bagi mereka, tempat tinggal yang jahat." (40:52)
16. Tidak merenungkan al-Qur'an.
Ayat terakhir, tetapi mungkin menjadi ayat atau perkara utama bagi tajuk (seperti difahamkan dalam penulisan Arab), menyebut mengenai al-Qur'an, yang tidak direnungkan manusia lalu dilaknati-Nya manusia itu. Firman-Nya,
"Mereka itulah orang-orang yang Allah melaknatkan, lalu menjadikan mereka pekak, dan membutakan mata mereka. Apa, tidakkah mereka merenungkan al-Qur'an? Atau, adakah adanya kunci pada hati mereka?" (47:23-24)
Mereka yang dimaksudkan di situ adalah yang berpaling, dan membuat kerosakan di bumi serta memutuskan pertalian darah. Mereka ditanya sama ada mereka telah merenungkan al-Qur'an. Benar, al-Qur'an menjadi punca manusia dilaknat pada hari ini.
Allah, malaikat dan manusia melaknat
Bukan sahaja didapati Allah melaknatkan orang-orang yang wajar dilaknati tetapi para malaikat dan manusia turut berbuat demikian. Orang-orang yang dilaknati mereka, dan Allah, adalah yang menyembunyikan ayat-ayat Allah, yang mati dalam ketidakpercayaan kepada ayat-ayat Allah, dan yang menjadi tidak percaya sesudah beriman. Ayat-ayat berikut menjelaskannya dengan lebih lanjut:
"Orang-orang yang menyembunyikan bukti-bukti yang jelas, dan petunjuk yang Kami menurunkan, setelah Kami memperjelaskan kepada manusia di dalam al-Kitab, mereka dilaknati Allah, dan mereka dilaknati para pelaknat," (2:159).
"Tetapi orang-orang yang tidak percaya dan mati dengan tidak percaya, ke atas merekalah laknat Allah, dan para malaikat, dan manusia kesemuanya," (2:161).
"Mereka (tidak percaya sesudah beriman lalu menjadi zalim) itu, balasan mereka ialah bahawa ke atas mereka laknat Allah, dan para malaikat, dan manusia, kesemuanya." (3:87)
Nabi Daud dan Nabi Isa telah melaknati kaum mereka, Bani Israil, yang tidak percaya, ingkar, dan mencabul. Firman-Nya,
"Telah dilaknati orang-orang yang tidak percaya daripada Bani Israil oleh lidah Daud, dan Isa putera Mariam; itu adalah kerana keingkaran mereka, dan pencabulan mereka." (5:78)
Dipohon
Laknat Allah ke atas seseorang boleh dipohon, misalan dalam tuduhan melakukan kesumbangan. Ayat-ayat berikut menjelaskan bagaimana tuduhan itu dilaksana, dalam kes suami menuduh isteri:
"Dan orang-orang yang membalingkan kepada isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar.
Dan yang kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya, jika dia termasuk antara pendusta-pendusta.
Ia akan menghindarkannya (isteri) daripada azab, jika dia menyaksikan dengan Allah empat kali bahawa dia (suami) adalah antara pendusta-pendusta.
Dan yang kelima, bahawa kemurkaan Allah adalah ke atasnya jika dia (suami) termasuk orang-orang yang benar." (24:6-9)
Bagi yang dituduh, mereka memohon kemurkaan Allah bukan laknat Allah. Adakah dengan itu Allah memberitahu kita bahawa laknat-Nya itu adalah juga kemurkaan-Nya?
Iblis dan Syaitan
Seperti dalam pengetahuan umum, Iblis dan Syaitan telah dilaknati Allah. Mereka dilaknati hingga ke Hari Pengadilan. Firman-Nya,
"Yang dilaknati Allah. Ia (Syaitan) berkata, 'Sungguh, aku akan mengambil untukku sebahagian yang ditetapkan daripada hamba-hamba-Mu,'" (4:118).
"Ke atas kamu (Iblis) laknat hingga Hari Pengadilan." (15:35)
Laknat di dunia dan Hari Kiamat
Beberapa ayat al-Qur'an menyebut mengenai laknat di dunia dan Hari Kiamat, atau akhirat. Pertama disebut mendapat laknat di dunia dan Hari Kiamat adalah Ad, iaitu kaum Hud (11:60), dan kemudian, Firaun dan pembesar-pembesarnya (11:99).
Ayat seterusnya ialah ayat 24:23, yang telah diturunkan. Ayat itu menyentuh mengenai orang-orang yang membuat tuduhan ke atas wanita-wanita mukmin yang berkahwin. Mereka menerima laknat dunia dan akhirat.
Akhir sekali, ialah orang-orang yang menyakiti Allah dan rasul-Nya (33:57), yang juga telah terlebih dahulu disebut, turut menerima laknat-laknat tersebut.
Laknat di dunia
Contoh laknat di dunia, selain daripada kemusnahan kaum (seperti ke atas kaum Ad) dan ditenggelamkan di laut (bagi Firaun dan pembesar-pembesarnya), ada juga laknat berbentuk lain, misalan, manusia dijadikan-Nya beruk dan babi, atau yang bersifat seperti dua haiwan tersebut. Firman-Nya,
"Katakanlah, 'Bolehkah aku memberitahu kamu, sebagai ganjaran di sisi Allah, yang lebih buruk daripada itu? Sesiapa yang Allah melaknatkan, dan padanya Dia murka, dan menjadikan antara mereka beruk dan babi,'" (5:60).
Dan, ada pula laknat itu di tangan manusia, seperti terhadap orang-orang yang membuat tuduhan ke atas wanita-wanita mukmin yang berkahwin, tetapi lalai (24:23), yang baru disebut lagi. Oleh kerana ayat itu tidak menjelaskan dengan tepat rupa laknat di dunia daripada-Nya, maka hukuman sebat maksima lapan puluh sebatan seperti yang tercatat pada ayat 24:4 adalah difikirkan wajar dikenakan sebagai laknat di dunia, tetapi dilaksanakan oleh manusia pula. Namun, ia hanya pendapat penulis sahaja.
Ke atas orang-orang munafik pula, laknatnya jelas, iaitu mereka dibunuh apabila mereka tidak berhenti daripada membuat kegemparan di kota, sebagai laknat di tangan manusia. Firman-Nya,
"Mereka (munafik dan hati berpenyakit) dilaknat, dan di mana sahaja mereka dijumpai, mereka diambil dan dibunuh, dibunuh." (33:61)
Bersama orang-orang munafik di situ adalah orang-orang yang hatinya berpenyakit, macam yang ragu-ragu terhadap ayat-ayat Allah. Mereka juga diambil dan dibunuh di mana sahaja mereka dijumpai apabila mereka tidak berhenti daripada membuat kekecohan.
Memohon di akhirat
Di akhirat pun sesetengah manusia akan memohon laknat Allah ke atas orang lain. Mereka adalah orang-orang yang sesat, yang memohon dilaknatkan dengan laknat yang besar atau dua kali ganda, ke atas ketua-ketua dan pembesar-pembesar mereka, dalam agama, yang dituduhnya sebagai orang-orang yang telah menyesatkan mereka. Firman Allah,
"Mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, kami telah mentaati ketua-ketua kami dan pembesar-pembesar, dan mereka menyesatkan kami daripada jalan. Wahai Pemelihara kami, berilah mereka azab dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang besar!'" (33:67-68)
Lantaran itu, masyarakat kini mengharapkan semoga orang-orang yang melaknatullah orang Islam lain dengan sewenang-wenangnya akan memberhentikannya, dan tidak akan mengulangi tabiat itu, di akhirat kelak, di mana mereka akan memohon laknat Allah ke atas orang lain pula, iaitu ke ketua-ketua agama mereka.
Sila rujuk:
Kalimat laknat di dalam al-Qur'an

No comments: