Pages

Wednesday, January 19, 2011

Israel mahu bina lagi kediaman haram Yahudi


Pekerja-pekerja termasuk kren digunakan dalam projek pembinaan penempatan Yahudi di Gilo, Baitulmaqdis, kelmarin. - AP


BAITULMAQDIS 18 Jan. - Israel akan meluluskan pembinaan 124 unit pangsapuri baru di sekitar kawasan penempatan haram Yahudi di timur Baitulmaqdis, satu langkah yang boleh mendatangkan kecaman hebat antarabangsa.
Projek yang bakal diluluskan Majlis Perbandaran Baitulmaqdis itu meliputi 92 unit pangsapuri di Talpiot Timur, selatan Baitulmaqdis dan 32 unit lagi di Pisgat Zeev di bahagian utara.
Keputusan itu dibuat sehari selepas pengumuman pembinaan sekurang-kurangnya 1,400 buah rumah di sebuah kawasan penempatan haram Yahudi di timur Baitulmaqdis.
Penduduk Palestin mahu menjadikan timur Baitulmaqdis, yang dirampas Israel bersama-sama Tebing Barat dalam Perang 1967 sebagai ibu negara mereka, sementara Israel mendakwa bandar suci itu sebagai ibu negaranya, satu dakwaan yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton pada minggu lalu mengutuk kerja-kerja merobohkan sebuah hotel untuk pembinaan 20 buah rumah haram Yahudi.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membalas kecaman Clinton dengan menyatakan penduduk Yahudi mempunyai hak untuk tinggal di mana-mana bahagian Baitulmaqdis.
Kira-kira 500,000 penduduk Israel tinggal di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis di kalangan 2.7 juta rakyat Palestin. - Reuters

No comments: