Pages

Sunday, January 23, 2011

Cuma 3 tahun hafaz 30 juzuk



KUANTAN - Kesungguhan Muhammad Ismail Hassanuddin, 15, menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga tahun akhirnya memberi tuah apabila dia dinobatkan sebagai johan pada majlis Menghafaz al-Quran peringkat negeri Pahang.

Memperoleh markah 96.90, dia berjaya mengalahkan tujuh peserta lain bagi kategori hafaz satu hingga 30 juzuk al-Quran dan membawa pulang wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Kejayaan pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Tengku Am-puan Afzan, Pekan, itu sekali gus mengulangi kejayaan tahun lalu buat anak ketiga daripada tujuh adik-beradik itu mula menghafaz sejak tiga tahun lalu apabila memasuki Maahad tersebut.

Menurutnya, dia memperuntukkan masa empat jam sehari untuk menghafaz al-Quran selain mengamalkan pantang dari segi pemakanan iaitu mengelak memakan makanan yang masam.

“Selain amalan tersebut, sokongan ibu bapa dan guru di sekolah banyak membakar semangat saya untuk menghafaz al-Quran.

“Bagaimana pun, jika tidak bersungguh-sungguh, sukar untuk kita menghafaz sebuah al-Quran dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu, di sini.

Hadir merasmikan majlis, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Muhamad Ubaidullah dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Sahfri Abdul Aziz.

Sementara itu, Adnan berkata, amalan menghafaz al-Quran perlu dihidupkan dalam masyarakat bagi melahirkan golongan yang celik al-Quran.

Katanya, menerusi al-Quran, pelbagai bidang diperkatakan antaranya kepimpinan, ilmu fizik dan kejadian alam semesta.

“Sekiranya kita berjaya menghafaz al-Quran, kita akan lebih menghayati mesej yang disampaikan melalui kitab suci tersebut,” katanya.

Pada majlis itu, selain Muhammad Ismail, rakannya, Ahmad Roiyan Mohd Shaikhudin di pilih sebagai johan bagi kategori lelaki satu hingga 20 juzuk manakala Amzanil Shah Arnizam Shah untuk kategori lelaki satu hingga 10 juzuk.

Bagi kategori perempuan satu hingga 20 juzuk dimenangi Siti Hajar Wan Ibrahim manakala kategori satu hingga 10 juzuk diberikan kepada Farah Faqihah Mohd Iqbal masing-masing dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

No comments: