Pages

Wednesday, December 29, 2010

Gaza masih tak selamat



Seorang wanita menimang bayinya di luar khemah yang menjadi tempat tinggal mereka di tapak rumah mereka yang hanya tinggal tiang di Ezbet Abed Rabbo, Genting Gaza akibat musnah teruk semasa serangan 22 hari tentera Israel pada 27 Disember, 2008. – AFP


GAZA CITY 28 Dis. – Selepas dua tahun tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Genting Gaza, penduduk Palestin di wilayah itu masih tinggal dalam ketakutan apabila rejim Zionis itu masih melancarkan serangan mortar dan roket setiap hari ke wilayah Palestin itu.
Nyawa mereka terus diancam bahaya kerana bangunan seperti tadika dan sekolah terdedah kepada serangan, selain proses pembangunan semula rumah-rumah kediaman yang rosak dan roboh mengalami masalah untuk dilaksanakan.
Serangan Israel pada 27 Disember 2008 juga menyaksikan Israel mengenakan sekatan ketat di wilayah itu sehingga hari ini.
Di Jabaliya, utara Gaza City, kira-kira 1,000 penduduk menyertai satu perhimpunan anjuran pergerakan Jihad Islam bagi mengenang kembali serangan besar-besaran rejim Zionis itu dengan melaungkan kecaman terhadap Israel.
Pergerakan Hamas yang mentdabir Genting Gaza turut mengadakan persembahan muzik dan teater di pusat budaya utama di wilayah tersebut.
“Seramai 366 anak polis dan anggota keselamatan maut dalam konflik itu,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Hamas, Ihab al-Ghussein sambil menambah kata bahawa kira-kira 70 peratus balai polis yang musnah semasa konflik itu telah dibina semula.
Hamas berkata, pihaknya akan menanam 1,440 benih pokok di utara Gaza sebagai simbolik kepada setiap rakyat Palestin yang maut sepanjang serangan Israel selama 22 hari itu.
Ulang tahun kedua serangan itu diadakan beberapa minggu selepas pejuang Palestin melancarkan mortar dan roket dari Gaza sebagai membalas serangan udara Israel.
Ahad lalu, jurucakap Jihad Islam, Abu Ahmed semasa upacara pengebumian dua anggota pejuang yang maut dalam pertempuran dengan tentera Israel berkata, kumpulan pejuang itu sedia berperang dengan rejim tersebut.
“Pendudukan Israel ke atas Palestin pasti akan menerima balasan sewajarnya jika mereka mahu terus memburukkan keadaan di Genting Gaza,” katanya. – AFP

No comments: