Pages

Friday, November 5, 2010

Kualiti jalan raya di Mumbai



http://www.kosmo.com.my


KEADAANNYA menimbulkan kemarahan baik di kalangan golongan miskin yang berjalan kaki hinggalah komuniti elit berkenderaan mewah.
Kini, jalan raya yang penuh lopak di Mumbai menjadi subjek dalam sebuah pameran seni. Pameran itu dianjurkan supaya tersebut mendapat perhatian pihak berkuasa.
Pameran itu mendedahkan beratus-ratus batang jalan raya terburuk di seluruh bandar kewangan India itu. Keadaan jalan raya yang berlubang sebegitu mudah menjadi lopak walaupun hanya selepas hujan pertama pada musim tengkujuh.
"Ia berlaku saban tahun. Saya menetap di selatan Mumbai dan ia sepatutnya menjadi kawasan lebih baik. Namun, lopak ada di merata-rata tempat, malah jalan di depan banglo Ketua Menteri juga tidak terkecuali.
"Ia cukup memalukan. Saya rasa seperti melalui sebatang jalan di sebuah perkampungan kecil yang terpencil," kata kurator pameran, Kanchi Mehta.
Beliau berharap pameran berjudul Smooth Runnings yang berlangsung penghujung Oktober lalu di BMB Gallery akan mencetus emosi yang kuat mengenai isu tersebut dan menarik perhatian majlis tempatan, yang bertanggungjawab ke atas semua baik pulih jalan.
Tampalan kurang kualiti
Kebanyakan jalan raya yang rosak teruk hanya ditampal semula menggunakan bahan di bawah piawaian syarikat yang hanya mementingkan kontrak berterusan baik pulih.
Namun isu timbul apabila tampalan di atas jalan raya berlopak itu memberi kesan pada tayar kereta dan pejalan kaki yang tersimbah air dengan aliran trafik lalu lalang.

PENYELENGGARAAN jalan raya di Mumbai tidak seiring dengan peningkatan ekonominya.


"Saya rasa ia adalah memalukan kerana kita tidak mendapat hak asas ketika India berbicara mengenai hasrat menjadi kuasa ekonomi," kata jurugambar Ameya Gokarn, yang turut mengambil bahagian dalam pameran itu.
Bank Dunia telah memberi amaran bahawa ekonomi India yang berkembang pesat akan terjejas tanpa adanya pelaburan besar-besaran dalam infrastruktur pengangkutan.
India mempunyai rangkaian jalan raya kedua terbesar dunia selepas Amerika Syarikat (AS), dengan jarak 3.5 juta kilometer namun hanya separuh daripadanya berturap.
Kelajuan di lebuh raya yang kebanyakannya dibuat dua lorong sangat mengecewakan iaitu kelajuan pemanduan hanya 50 kilometer (km) sejam menggunakan kereta dan 35 hingga 40 km sejam jika menaiki bas atau trak.
Trafik di bandar itu meningkat sebanyak 15 peratus setahun sejak sedekad lalu, sekali gus mengurangkan purata kelajuan pada waktu sesak kepada sedikit laju daripada berjalan di sesetengah tempat.
Seperti bidang perpaipan, kuasa dan perumahan, penganalisis menyatakan, pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya tidak seiring dengan perkembangan ekonomi dan peningkatan populasi.
Projek baru biasanya memakan kos yang tinggi dan jangka masa panjang walhal kebanyakan syarikat pembinaan adalah kecil dan merupakan perniagaan keluarga yang bergantung kepada pekerja tidak berkemahiran, tanpa peralatan dan bahan yang baik.
Syarikat besar dengan jurutera pakar dan pekerja mahir pula sangat sedikit sementara pelabur di dalam dan luar negara terhalang atau tertangguh akibat kerenah birokrasi, demikian menurut Bank Dunia dalam laporannya pada tahun 2008.
Pengarang majalah India Infrastructure, Shubhra Puri, mengalu-alukan pengiktirafan kerajaan terhadap masalah berkenaan.
Menteri Jalan Raya, Kamat Nath telah meletakkan sasaran untuk membina 20 km jalan raya setiap hari dalam usaha pembinaan bernilai AS$500 bilion (RM1.55 trilion).

JALAN raya yang berlopak di Mumbai mengakibatkan banjir kilat.


Beliau memberitahu majalah India Today baru-baru ini: "Kekayaan tidak membina jalan raya. Jalan raya yang membina kekayaan."
Namun, Puri menegaskan, rasuah, kurang perancangan menaksir kapasiti masa depan, penguatkuasaan lemah, pertikaian pemilikan tanah dan pelbagai agensi yang mengawal jalan raya menyukarkan keadaan.
"Banyak masa yang diperlukan untuk perubahan. Ia tidak hanya memerlukan dua atau tiga tahun.
"Saya pasti keadaan akan menjadi lebih baik tetapi setiap orang perlu meningkatkan sumbangan mereka untuk melakukan perubahan," katanya. - AFP

No comments: