Pages

Sunday, November 14, 2010

Aung Suu Kyi bebas


YANGON 13 Nov. – Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi hari ini dibebaskan daripada tahanan di rumah.
Pihak berkuasa Myanmar memasuki kediaman Suu Kyi yang terletak di tepi tasik di sini untuk membacakan arahan supaya beliau dibebaskan, kata seorang pegawai kerajaan.
Para penyokong ikon demokrasi tersebut telah menanti dengan penuh debaran untuk beliau dibebaskan dari rumah usang yang telah menjadi ‘penjara’ bagi wanita itu hampir sepanjang dua dekad yang lalu.
Lebih 1,000 orang menunggu dalam panas terik dekat kediaman Suu Kyi yang usang dan mula bergerak ke situ ketika pihak berkuasa menanggalkan pos kawalan.
Beratus-ratus lagi penyokong berkumpul di ibu pejabat parti pimpinan Suu Kyi, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), ramai antaranya memakai kemeja-T yang memaparkan wajah beliau serta slogan menyokongnya.
Pihak berkuasa berkata, beliau sudah pasti dibebaskan, kemungkinan besar lewat hari ini, meskipun sesetengah pihak khuatir junta tentera mungkin mencari alasan untuk melanjutkan penahanan beliau.
Walaupun tokoh pembangkang paling terkenal di Myanmar itu ditahan di rumah sejak tujuh tahun lalu, dipinggirkan dan dihalang daripada bersuara oleh junta tentera, beliau tetap melambangkan harapan untuk masa depan lebih baik bagi ramai penduduk di negara miskin ini.
“Saya melihat beliau sebagai ibu, sebagai kakak dan nenek kerana beliau anak perempuan pemimpin kemerdekaan kami, Jeneral Aung San, dan darah bapanya mengalir dalam dirinya,” kata seorang penyokong, Naing Naing Win, 45.
Tempoh tahanan Suu Kyi dilanjutkan pada tahun lepas berikutan insiden seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) berenang menyeberangi tasik ke rumahnya tanpa diundang, menyebabkan beliau tidak dapat menyertai pilihan raya umum pertama di negara ini dalam tempoh 20 tahun.
Suu Kyi masih dilihat sebagai ancaman terbesar terhadap junta selepas hampir lima dekad Myanmar diperintah oleh diktator tentera.
Beliau ditahan selama 15 tahun daripada tempoh 21 tahun yang lalu, tetapi perintah tahanan terbarunya dijadual berakhir hari ini. – AFP

No comments: