Pages

Monday, October 11, 2010

Persandingan gilang-gemilang Muszaphar, Halina



DR. Halina menyarungkan cincin ke jari manis suaminya, Dr. Sheikh Muszaphar pada majlis akad nikah di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya, semalam.



PUTRAJAYA 10 Okt. - Kemuncak percintaan Angkasawan Negara pertama, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Dr. Halina Mohd. Yunos diabadikan pada majlis persandingan gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini.
Dr. Sheikh Muszaphar yang segak berbaju Melayu songket putih serta bertanjak manakala Dr. Halina mengenakan baju kebaya moden berwarna perak diiringi masuk ke dewan persandingan dengan penuh adat istiadat Melayu dan paluan kompang.
Memilih tema perkahwinan 'Pahlawan Melayu Di Istana Kayangan' dengan sentuhan rona biru menggambarkan angkasa lepas, keemasan (warisan Melayu) dan perak (futuristik), majlis tersebut ditujukan khas kepada rakyat Malaysia yang selama ini banyak memberi sokongan dan dorongan serta mendoakan kejayaan Dr. Sheikh Muszaphar dalam misi ke angkasa lepas.
Kedua-dua mempelai itu selamat diijabkabulkan di Masjid Tuan Mizan Zainal Abidin di sini pada majlis pernikahan pagi ini.
Hadir sama kedua ibu bapa Dr. Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan Datin Zuraidah Sheikh Ahmad dan ibu bapa pengantin perempuan, Lt. Kol. (B) Mohd. Yunos Mohd. Ali dan Habibah Endan.
Sebagai tanda memberikan restu, kedua-dua belah pihak ibu bapa diberi penghormatan menepung tawar kedua-dua mempelai.
Majlis tersebut menampilkan keindahan budaya, tradisi dan adat resam masyarakat Melayu selain acara kesenian seperti gurindam, zapin dan tarian tradisional Melayu.
Bagi menambahkan lagi seri majlis tersebut, kedua-dua pasangan memotong kek berbentuk kapal angkasa Soyuz dengan penampilan persalinan khas berwarna perak rekaan Bernard Chandran.
Berkenan berangkat ke majlis persandingan tersebut ialah Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah; Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah dan Sultanah Haminah Hamidun serta Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail bersama isteri baginda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.
Turut berangkat ke majlis itu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta kerabat diraja Arab Saudi.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta penyanyi terkenal negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bersama suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran kira-kira 65 angkasawan luar negara bersama pasangan mereka lengkap berpakaian baju Melayu.
Mereka hadir ke negara ini bersempena Kongres Planet Ke-23 anjuran Persatuan Penerokaan Angkasa (ASE) pada 5 Oktober lalu dan berakhir hari ini.
Turut dihadiri kira-kira 1,000 jemputan khas di kalangan orang kenamaan, ahli keluarga dan sanak-saudara serta rakan rapat pasangan mempelai berkenaan.
Majlis tersebut disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen, TV3 sejurus selesai siaranBuletin Utama.
Dr. Halina mula menjadi tumpuan apabila Angkasawan Negara pertama pada Oktober tahun lalu mengesahkan kepada Utusan Malaysia untuk menamatkan zaman bujang dengan gadis tersebut.
Pasangan itu memilih tarikh 10 Oktober 2010 untuk majlis perkahwinan mereka sempena ulang tahun ketiga Dr. Muszaphar ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Dr. Sheikh Muszaphar mengikat pertunangan dengan Dr. Halina pada 1 Januari lalu setelah menyulam cinta selama kira-kira lapan tahun.
Dr. Halina yang kini bertugas sebagai doktor bius di Hospital Selayang, Kuala Lumpur merupakan bekas mahasiswa angkasawan itu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

No comments: