Pages

Tuesday, September 21, 2010

Parti anti-Islam, Demokrat Sweden menang 20 kerusi


STOCKHOLM 20 Sept. - Sebuah parti pelampau berhaluan kanan yang anti-Islam, Demokrat Sweden memenangi kerusi Parlimen buat kali pertama dalam pilihan raya negara ini semalam, sekali gus menghalang perikatan kerajaan memperoleh majoriti mutlak, di samping menjerumuskan negara ini ke dalam kemelut politik.
Perdana Menteri, Fredrik Reinfeldt berhasrat untuk menjadi pemimpin berhaluan tengah kanan pertama dipilih semula selepas menamatkan satu penggal penuh di negara yang dikuasai oleh parti berhaluan kiri, Demokrat Sosial selama berpuluh-puluh tahun.
Namun parti Demokrat Sweden yang lantang menyuarakan retorik anti-Islam menguasai imbangan kuasa selepas memperolehi 5.7 peratus undi untuk memenangi 20 kerusi di Parlimen yang mempunyai 349 anggota, menurut keputusan awal hari ini.
Perikatan empat parti pimpinan Reinfeldt memenangi 172 kerusi, kurang tiga kerusi untuk menguasai majoriti, manakala pembangkang berhaluan kiri 157 kerusi.
Perikatan beliau mendapat sokongan disebabkan potongan cukai yang popular serta kedudukan kewangan awam yang kukuh, berbanding negara Eropah lain yang dibebani hutang.
Reinfeldt, 45, berkata, kerajaannya akan terus memerintah dan mendapatkan sokongan daripada parti pembangkang kecil, Parti Hijau bagi mengelak pergantungan kepada Demokrat Sweden.
Keputusan pilihan raya itu menggambarkan Parlimen yang tergantung kerana kedua-dua blok menolak pembentukan kerajaan dengan Demokrat Sweden, yang mahu kemasukan pendatang dikurangkan dan menyifatkan Islam sebagai ancaman terbesar yang dihadapi oleh Sweden sejak Perang Dunia Kedua.
Jika Reinfeldt gagal menyelesaikan kebuntuan itu, beliau akan mengetuai kerajaan minoriti yang goyah dan mungkin terpaksa meletakkan jawatan jika gagal memperoleh kelulusan rang undang-undang penting di Parlimen.
Pemimpin Demokrat Sweden, Jimmie Akesson berkata, partinya telah 'menulis sejarah politik' dalam pilihan raya.
Gelombang kemasukan pendatang dari rantau Balkan, Iraq dan Iran mengubah demografi negara Scandinavia ini, dan kini seorang daripada setiap tujuh penduduk berasal dari negara asing. - AP

No comments: