Pages

Sunday, August 1, 2010

Samun kereta mewah






NURUL FATIN ZULKIFLI, 17, dan adiknya Siti Haida, 7, menghadapi detik-detik cemas dalam hidup mereka apabila dilarikan oleh tiga lelaki tidak dikenali ketika kenderaan ibu bapa dua beradik terbabit berhenti di sebuah kedai gambar di Jalan Sagor, Kuala Kangsar, Perak, Selasa lalu.
Dalam kejadian pada pukul 9.20 malam itu, Fatin dan adiknya ditinggalkan sebentar di dalam kereta Honda Accord oleh bapanya, Zulkifli Ahmad, 48, dan ibunya, Fauziah Rafiee, 44, sebelum tiga lelaki terbabit tiba-tiba memasuki kenderaan tersebut dan melarikan mereka.
"Sebaik sahaja ibu bapa saya memasuki kedai gambar berkenaan, mereka (penjenayah) terus memasuki kereta dan melarikannya.
"Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana salah seorang lelaki tersebut duduk di kerusi belakang dan mencekik leher saya.
"Saya diberi amaran dan diancam supaya tidak menjerit dan membuat bising sekiranya tidak mahu dicederakan selain khuatir mereka merogol saya.
"Saya dan adik berada bersama lelaki terbabit lebih kurang dua jam sebelum mereka meninggalkan kami di tepi jalan," ujar Fatin yang akhirnya ditemui bersama adiknya, Haida dalam keadaan selamat di Liman Kati, Kuala Kangsar, pada pukul 11 malam, kira-kira 40 kilometer dari Jalan Sagor.

TAKTIK melanggar bahagian belakang kereta sering digunakan oleh penyamun untuk menarik perhatian pemandu supaya mereka berhenti dan keluar daripada kenderaan.


Berani
Kereta milik Zulkifli yang merupakan Penolong Pegawai Pemerintah di 50 Rejimen Askar Jurutera Diraja, Kem Bukit High Gate, Kuala Lumpur, ditemui pada jam 2.30 pagi di Rantau Panjang, Kelantan.
Dalam kejadian itu, penjenayah melarikan beg tangan, telefon bimbit dan wang tunai RM300 miliknya serta alat sistem pengesanan global (GPS) milik Zulkifli.
Walaupun bukan kali pertama kes seperti ini berlaku, kejadian merampas dan melarikan kereta tidak boleh dipandang mudah, tambahan pula jika melibatkan keselamatan nyawa penumpang.
Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berpendapat, walaupun kes seumpama itu sudah beberapa kali dilaporkan oleh media, ia masih dikategorikan sebagai jenayah tidak lazim dan tidak boleh dikaitkan dengan sikap penjenayah yang semakin berani.
"Kita tidak boleh mengatakan kes seperti ini sebagai jenayah yang semakin berleluasa kerana ia tidak berlaku setiap hari.
"Kita juga tidak boleh menganggap penjenayah semakin berani kerana ia akan membuktikan kealpaan dan kebodohan kita sebagai orang awam yang membuka peluang kepada penjenayah untuk mengambil kesempatan," ujarnya kepada Jurnal.
Mengimbas semula kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, beliau pernah memperkecil-kecilkan kerajaan Malaysia dengan menyatakan negeri Johor seperti 'tempat yang terkenal dengan tembak-menembak, samun dan merampas kereta'.
Malah, dalam afidavitnya berhubung dengan saman malu terhadap anggota Parti Pekerja Singapura, Tang Liang Hong pada tahun 1997, Kuan Yew mengatakan, adalah tidak masuk akal bagi seorang yang mendakwa bimbang dengan keselamatan dirinya pergi ke tempat seperti Johor.
Mengambil pendekatan bahawa setiap pihak perlu berwaspada dan mengikis anggapan bahawa orang lain akan menjadi mangsa, Kamal tidak menolak, selera penjenayah semakin besar.
"SAYA dicekik dan diberi amaran supaya tidak menjerit. Saya hanya mendiamkan diri, khuatir jika mereka melakukan sesuatu yang buruk kepada saya dan adik." - FATIN


Perkosa
Minggu lalu, di Petaling Jaya, dua lelaki berkopiah telah melanggar bahagian belakang kenderaan mewah, Porsche Cayenne milik seorang Datuk bernilai lebih RM3 juta sebelum melarikannya.
Pada Mac 2009 pula, tiga wanita berusia 20-an ditahan berhubung kecurian kereta mewah Porsche Cayenne Turbo S milik Tengku Mahkota Kelantan ketika diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Shah Alam.
Pada bulan yang sama, sebuah lagi kenderaan mewah dari jenama sama yang bernilai RM1.4 juta dilarikan ketika sedang menjalani pemeriksaan di sebuah bengkel di Subang Jaya.
Sama ada terus merampas kereta mahupun pura-pura bertanya arah atau ingin menghulurkan bantuan, taktik kotor penjenayah boleh dihidu lebih awal bagi mengelakkan keadaan yang lebih rumit.
Dalam satu kejadian yang berlaku pada September tahun lepas, dua gadis remaja nekad melompat keluar dari kereta daripada menjadi mangsa perkosa tiga lelaki yang menawarkan diri untuk membaiki kereta mereka yang sebelum itu terperangkap di dalam lumpur selepas hujan lebat di Kepong, Kuala Lumpur.
Sementara itu, pada Januari 2008, bekas personaliti TV3, Wan Zaleha Radzi diculik tiga jam dalam kereta oleh tiga lelaki sebelum disamun dan keretanya dilarikan di Pusat Bandar Damansara.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, pengacara terkenal itu dikatakan sedang berjalan menghala ke kereta Nissan Murano miliknya sebelum dihampiri tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta hitam yang meminta beliau mengeluarkan kad pengenalan sebelum menolaknya masuk ke dalam kereta.
TINDAKAN agresif penyamun yang kurang bijak bukan sahaja menyusahkan tetapi merugikan pemilik kenderaan.


"Senario jenayah rampas dan samun kereta ini bukan taktik baru sebaliknya ia dilakukan bergantung kepada selera dan keperluan penjenayah itu sendiri.
"Ada penjenayah menyasarkan kereta mewah dan pacuan empat roda yang boleh dieksport dan dileraikan sebelum dijual sebagai alat ganti.
"Ada juga penyamun kereta yang mencuri kerana wujud peluang di depan mata. Kes samun kereta bukan baru berlaku semalam dan sebelum ini sudah ada mangsa yang mengalami trauma yang lebih teruk.
"Ia sepatutnya dijadikan pengajaran kepada seluruh anggota masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan jangan terlalu yakin bahawa nasib sentiasa menyebelahi anda," kata Kamal.

No comments: